HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Mei 2017

Rosyam salah, Zed Zaidi kena ambil tindakan – Afdlin


Mohammad Arif Nizam


Afdlin Shauki

KUALA LUMPUR – Pelakon Afdlin Shauki tampil menyalahkan Datuk Rosyam Nor atas kejadian tampar yang berlaku dalam Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Perdana Menteri kelmarin.

Beliau yang juga pengarah turut mempersoalkan tindakan pengacara memburukkan keadaan dengan dialog “dia ni memang kurang ajar” kepada Datuk Seri Najib Razak.

Dialog itu kedengaran menerusi audio yang dipasang dan merujuk kepada penerbit filem, Datuk David Teo selepas dilempang pelakon veteran, Sulaiman Yassin atau Mat Over.

“Pada saya, yang paling bersalah adalah moderator yang tak mengawal keadaan dengan baik. Lepas tu satu Malaysia dengar audio dia cakap kat PM ‘dia ni memang kurang ajar Datuk Seri’.

“Apa tujuan memburuk-burukkan keadaan? Bukankah lebih baik sekadar meminta maaf atas kelakuan anak-anak seni yang terlalu nak menonjolkan diri,” tulisnya di Instagramnya semalam.

Dialog TN50 bersama Datuk Seri Najib Razak yang berlangsung malam kelmarin kecoh selepas Mat Over menampar David di depan perdana menteri.

Insiden itu berpunca daripada penerbit filem meminta Rosyam memberi peluang kepada hadirin di barisan belakang untuk mengajukan soalan kepada Najib.

Mat Over tiba-tiba muncul dan menampar David ketika Rosyam membuka ruang kepada penerbit itu untuk tanya perdana menteri.

Afdlin juga menggesa Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi mengambil tindakan terhadap Rosyam yang kelakuan disifatkan memalukan dan mengaibkan penggiat seni.

“Sudahlah memang orang kurang respect pada orang dalam industri ini…kelakuan yang memalukan ini lebih mengaibkan kita. Zed Zaidi kena ambil tindakan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: