HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Mei 2017

Mufti cadang Hindraf dialog dengan Zakir Naik

Jika ada yang enggan berdialog, maka dia tidak layak tinggal dalam negara demokrasi terbuka seperti ini

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan agar Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) berdialog dengan penceramah antarabangsa Dr Zakir Naik secara terbuka bagi membolehkan rakyat menilai dakwaan-dakwaan yang dibuat Hindraf terhadap Zakir.

Asri berkata, terdapat cadangan supaya perkara itu dilaksanakan bagi membolehkan rakyat menilai kedua-dua pihak dengan adil dan saksama.

“Adalah dicadangkan agar Hindraf ataupun pihak yang tidak puas hati berdialog dengan Dr Naik secara terbuka. Rakyat Malaysia boleh menyaksikannya secara adil dan saksama.

“Jika ada yang enggan berdialog, maka dia tidak layak tinggal dalam negara demokrasi terbuka seperti ini.

“Dr Naik diharapkan sudi berdialog secara profesional tanpa perlu banyak syarat. Ini kerana terdapat tuntutan segelintir rakyat dalam hal ini. Dialog membolehkan rakyat menilai segala dakwaan yang dibuat dengan adil,” kata Asri, memetik kenyataan di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau turut mengulas berhubung terdapat segelintir media yang memuat naik kembali rakaman video ucapan nya 10 tahun lepas mengulas ketika Hindraf mendakwa kerajaan Malaysia sedang melakukan penghapusan etnik India dan penindasan kepada penganut Hindu di Malaysia.

“Mengapakah media berkenaan dan pro-Hindraf marah dengan video 10 tahun lepas tetapi mendiamkan diri dengan rakaman perhimpunan yang menghina orang Melayu tidak berpakaian, tiada agama asal dan seumpamanya?

“Negara ini telah hidup dengan aman. Betapa banyak pandangan dan fatwa yang harmoni Asri berhubung dengan semua agama sebelum HIindraf kembali membangkitkan pelbagai isu perkauman dan kaitan agama,” kata kenyataan itu.

Beliau berkata, isu-isu perkauman seringkali dimainkan menjelang pilihan raya umum sedangkan tindakan berkenaan tidak memberikan sebarang manfaat untuk pembangunan negara.

“Isu-isu permusuhan antara agama hendaklah dihentikan.

“Jangan dijadikan PRU sebagai kesempatan membuat pelbagai kerenah yang menegangkan hubungan antara rakyat dalam negara ini. Tiada kebaikan untuk negara bagi tindakan seperti itu,” kata Asri lagi.

Tiada ulasan: