HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Mei 2017

Najib hargai kesetiaan Pak Lah, beri dana RM5 juta

Oleh Nabihah Hamid
Najib hargai kesetiaan Pak Lah, beri dana RM5 juta
Najib memuji kesetiaan Pak Lah dan menyumbang dana RM 5 juta untuk legasinya. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
BAGAIKAN adik dan abang, Perdana Menteri Najib Razak menghargai dan memuji Abdullah Ahmad Badawi kerana sentiasa setia bersama parti Umno dan Kerajaan Barisan Nasional.

Mengumumkan dana RM5juta untuk Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Badawi, Najib menyifatkan bekas perdana menteri kelima itu yang lebih dikenali dengan gelaran Pak Lah itu sebagai tokoh terbilang negara.

"Saya ingin menghargai kesetiaan Pak Lah selama ini yang walau apa pun berlaku, beliau terus memberi sokongan padu dan berdiri teguh bersama saya, pihak kerajaan, parti Umno dan Barisan Nasional serta tidak terlintas untuk mengkhianati parti, jauh keluar dari parti umno yang dikasihi.

"Saya bukan datang dengan tangan kosong. Saya ingin umumkan dana awalan RM5 juta pada legasi Pak Lah.

"(Dana) Akan saya keluarkan tahun ini, kalau tahun hadapan ada rezeki saya tambah lagi,"
katanya pada ucapan perasmian Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya hari ini.

Najib pada ucapannya turut menceritakan perbualannya sewaktu Pak Lah dilantik menjadi ahli Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk membantu ayahnya, Abdul Razak menjadi perdana menteri kedua.

Najib juga mengakui terhutang budi selepas Pak Lah sudi melepaskan jawatan presiden Umno kepadanya sekaligus membolehkan dirinya menerajui Putrajaya sehingga kini.

"Kamu (Najib) anak kandung Tun Razak, saya anak politiknya," katanya.

"Beliau bukan sahaja memanggil saya sebagai 'my brother', bahkan bagi saya, Pak Lah adalah sahabat sejati, kerana beliau tetap setia , sanggup bersama saya dan kerajaan ini ketika senang mahupun susah, dalam situasi yang getir.

"Bahkan, lebih menyentuhkan dan mengharukan saya betapa tingginya nilai kasih sayang Pak Lah kepada parti dan negara sebagai pemimpin besar lagi berjiwa mulia, apabila sanggup menyerahkan tampuk kepimpinan tertinggi Umno serta jawatan perdana menteri kepada saya dengan penuh tertib dan kemuliaan tradisi.

"Terima kasih Pak Lah. Semoga Allah jua akan balas budi baik Pak Lah," kata Najib lagi.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah beliau tidak akan melupakan jasa Pak Lah dan akan terus menerajui Malaysia dalam menuju ke negara maju.

Pada 2008, Pak Lah tidak mempertahankan jawatan presiden Umno dan melepaskan jawatan perdana menteri kepada Najib yang menjadi timbalannya ketika itu pada Mac 2009.


Tiada ulasan: