HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Mei 2017

Najib mahu operasi SAR kapal TLDM diperluas

Berita Daily Staff

Segala aset kerajaan juga harus dikerahkan dalam usaha mencari kapal peronda yang dilaporkan hilang sejak malam tadi.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Najib Razak mengarahkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Perdana yang dilaporkan hilang diperluas dan ditingkatkan.

Najib berkata, segala aset kerajaan juga harus dikerahkan dalam usaha mencari kapal peronda yang dilaporkan hilang sejak malam tadi.

“Saya doakan agar sembilan orang anak kapal KD Perdana yang terputus hubungan malam tadi di perairan Johor dijumpai segera dalam keadaan sihat dan selamat.

“Saya mahu usaha operasi mencari dan menyelamat diperluas serta ditingkatkan. Semua aset kerajaan yang diperlukan harus dikerah,” kata Najib di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada bantuan yang diberikan nelayan dalam usaha berkenaan.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada para nelayan yang turut serta dalam usaha mencari dan menyelamat ini,” katanya.

TLDM dalam kenyataannya hari ini mengesahkan KD Perdana terputus hubungan dengan bot kapal yang membawa Tim Menggeledah ketika mengusir bot nelayan asing di perairan Sedili, pada Sabtu.

TLDM dalam kenyataan hari ini berkata bot berkenaan diketuai seorang pegawai dan lapan anggota Laskar Kanan ke bawah yang melaksanakan rutin rondaan maritim di kawasan perairan negara.

Tiada ulasan: