HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Mei 2017

PAS kembali ke era 80-an, kata firma kajian bebas



 
Oleh Khairil Ashraf


PETALING JAYA: Berakhirnya muktamar PAS ke-63 Ahad lepas, sebuah firma kajian bebas percaya PAS kini kembali ke era 80-an parti itu, dengan mengambil elemen “jalur keras” dalam retorik politik mereka.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohamad Hisomuddin Bakar berkata ia boleh dilihat ketika pimpinan PAS menggambarkan lawan mereka.

Hisomuddin berkata perkataan seperti “butir tahi” dan “barua” mungkin disukai ahli PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi tidak akan menguntungkan mereka di negeri seperti Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Sukar untuk PAS mendepani pengundi-pengundi di Pantai Barat yang lebih lunak, tidak sukakan elemen menyerang, sukakan kepada pembentukan kerjasama yang harmoni,” katanya kepada FMT.

Selain itu, pengundi turut memerhatikan serangan PAS terhadap parti rakan mereka dalam kerajaan Selangor.

“PAS tidak ada etika apabila mereka berada dalam kerajaan tapi dalam masa yang sama menyerang parti yang bekerjasama. Ini sebenarnya memberikan isyarat kepada pengundi, sebagaimana mereka menilai sikap PAS yang lebih mementingkan diri,” katanya.

Muktamar tahun ini merupakan mesyuarat agung tahunan kedua selepas pemilihan 2015, yang menyaksikan beberapa pemimpin veteran parti tewas dan keluar parti untuk menubuhkan Amanah, yang kini bersama DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR dalam Pakatan Harapan.

PAS selepas menegaskan tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai kerjasama dengan DAP dan Amanah kemudian meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” dengan PKR.

PAS juga meluluskan usul untuk meletakkan calon di semua kerusi PKR, sekiranya tiada persefahaman politik dicapai sehingga berlakunya PRU-14. Ia dijangka memastikan pertembungan 3 penjuru di semua kerusi PKR, yang penganalisis percaya akan memberi kelebihan kepada BN.

Melihat kepada contoh pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, yang menyaksikan PAS sekadar mampu meraih bawah 5% undi bukan Melayu, Hisomuddin membayangkan PAS akan kehilangan 3/4 kerusi sedia ada.

“Jadi saya membayangkan di Pantai Barat ini PAS akan hilang sokongan mereka termasuk di Selangor,” katanya.

Hisomuddin turut memberi perhatian kepada barisan kepimpinan baharu PAS, yang dilihat terlalu bergantung kepada sosok Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Era kali ini walaupun wujudnya kelompok profesional tetapi mereka itu sifatnya ‘sehala’ dan tidak ada elemen kritikal. Jadi untuk memberikan keseimbangan idea dan strategi, parti itu nampaknya seolah-olah terlalu bergantung kepada kepimpinan Hadi,” katanya.

Tiada ulasan: