HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 Mei 2017

PAS sasar 100 kerusi parlimen, termasuk kerusi PKR

ANTARAPOS.COM

Post Pic



SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan membayangkan parti itu bersedia bertanding di 100 buah kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ujarnya yang dipetik Malaysiakini, daripada jumlah itu, PAS menjangkakan 40 kerusi adalah kerusi 'mudah menang' manakala selebihnya memerlukan kerja kuat jentera parti.

“Kita mungkin akan meletakkan lebih 100 kerusi (parlimen) yang akan dipertandingkan, cuma 40 itu kita sasarkan menang dan mudah menang.

“Di samping itu, kita perlu menang lebih lagi antara 60 hingga 80 kerusi ke atas berdasarkan kerja kuat jentera parti,” katanya yang sebelum itu menghadiri Konvesyen Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan di Bukit Damansara.

Ahli Parlimen Temerloh itu juga berkata, PAS masih mempunyai peluang  di kawasan yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru,

“Tak semestinya apabila berlaku tiga penjuru, maka itu akan memberi kemenangan besar kepada Umno dan BN, dia berbeza dengan perkembangan politik pada PRU lepas,” katanya.

“PAS melihat peluang terhidang besar di hadapan untuk kita mencapai kemenangan banyak kerusi parlimen pada pilihanraya nanti,” katanya.

Dalam pada itu, PAS Wilayah Persekutuan menyenaraikan sembilan kerusi parlimen yang disasarkan pada PRU14 akan datang.

Sembilan kerusi berkenaan ialah Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai, Batu dan Segambut.

Dua daripada sembilan kerusi itu, Batu dan Lembah Pantai, kini disandang oleh PKR.

Menurut Pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad berkata keputusan untuk bertanding di sembilan kerusi parlimen itu dibuat selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulama bahawa tahaluf siyasi dengan PKR sudah terbatal.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh pada Khamis mengumumkan bahawa majlis itu menerima usul muktamar PAS untuk membatalkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Nik Muhammad Zawawi berkata, keputusan itu dibuat kerana PKR melakukan begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

Ia termasuklah menjalin kerjasama politik bersama DAP dan Amanah menerusi Pakatan Harapan (PH), menyokong calon Amanah di dalam dua pilihan raya kecil tahun lalu, selain kegagalan menyatakan sokongan terhadap pindaan Akta 355 yang dibawa PAS.


Tiada ulasan: