HALAMAN SANTAI

Jumaat, 12 Mei 2017

Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno

 Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno
Mukhriz menurunkan tanda tangan ketika merasmikan Pejabat Bersatu Tanah Merah.

TANAH MERAH - Bersatu yakin Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno untuk berdepan dengan Pakatan Harapan dalam PRU14 walaupun parti Islam itu sudah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerjasama Pas dengan Umno akan membawa kepada pembahagian kerusi pilihan raya antara dua parti terbabit dan perkara itu tidak diyakini boleh berlaku.

"Jika berlaku agihan kerusi antara keduanya (Pas dan Umno) sebagai bentuk kerjasama, mereka akan berdepan dengan Pakatan Harapan yang akhirnya akan jadi satu lawan satu dan ini akan memudahkan kita," katanya pada sidang media sempena majlis perasmian Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tanah Merah di Wisma In, dekat sini, hari ini.

Mukhriz berkata, jika Pas tidak bekerjasama dengan Umno, kemungkinan besar pula akan berlaku pertembungan tiga penjuru antara dua parti itu dan parti komponen Pakatan Harapan pada PRU14.

"Jika tak bekerjasama dan berlaku tiga penjuru, kita kena lihat kenapa boleh berlaku sampai tiga pihak bertanding, sama ada dia (Pas) bertanding untuk menang dan tubuhkan kerajaan atau saja nak kacau keadaan kemudian serahkan kepada Umno," katanya.

Tambahnya, keputusan Majlis Syura itu juga tidak menimbulkan masalah kepada Pakatan Harapan, malah memudahkan lagi gerak kerja gabungan Bersatu, PKR, Amanah dan DAP untuk menghadapi PRU14.

"Isu putus tahaluf siyasi ini sudah lama disebut, cuma tunggu disahkan Majlis Syura, jadi sekarang lebih mudah bagi kita. Sebelum ini tergantung menyebabkan kita (Pakatan Harapan) tak tahu macam mana nak bergerak," katanya. 


Tiada ulasan: