HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Mei 2017

Pengarah baru bakal bawa PAS 'terbang ke awan biru'

Shakira Buang

 

Kepakaran Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam bidang penerbangan dilihat mungkin antara sebab kenapa Datuk Mustafa Ali digugurkan daripada jawatan Pengarah Pilihan Raya parti itu.

Bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata ini kerana dengan kepakaran yang ada pada Ahmad Samsuri beliau dilihat mampu membawa parti terbabit 'terbang dengan lebih tinggi' selepas mereka memutuskan kerjasama politik dengan parti pembangkang lain.

"Pada saya ada beberapa kemungkinan (mengapa Mustafa digantikan).

"Tok Pa (Mustafa) mungkin dilihat sudah tidak lagi layak berbanding setiausaha politik Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana beliau adalah pakar penerbangan yang mungkin akan membawa penerbangan PAS jauh ke awan biru," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam PAS mengumumkan barisan anggota jawatankuasa pusatnya yang baru serta pemimpin yang mengetuai beberapa posisi penting parti berkenaan.

Datuk Takiyuddin Hassan dikekalkan sebagai setiausaha agung manakala Anggota Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan, sekali lagi diberi amanah sebagai ketua penerangan.

Mustafa(gambar) yang menjadi seorang daripada tokoh paling berpengalaman dan kanan dalam PAS diketepikan daripada jawatannnya sebagai pengarah pilihan raya.

Jawatan itu dianggap kritikal kerana individu yang diberikan tugas berkenaan bertanggungjawab mengatur strategi dan berunding untuk menentukan calon yang bakal diturunkan pada sesuatu pilihan raya.

Tempat Mustafa digantikan oleh Ahmad Samsuri. Beberapa pihak mendakwa bekas timbalan menteri itu sengaja disingkirkan daripada PAS.

Seorang lagi pemimpin kanan yang dilihat tidak diberi tugas penting ialah naib presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Iskandar yang juga exco Selangor sebelum ini ditugaskan sebagai pesuruhjaya PAS Selangor. Tempat beliau kini diambil alih Sallehen Mukhyi.

Rapatkan jurang generasi

Kata Mahfuz, Mustafa juga mungkin dianggap tidak lagi relevan dengan jawatan berkenaan sebaik sahaja PAS mengambil pendekatan memencilkan diri daripada parti pembangkang lain.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga anggota parlimen Pokok Sena berkata tindakan PAS
menggugurkan Mustafa dilihat kerana PAS sudah tidak lagi memerlukan beliau sebagai juru runding.

"Kemungkinan kedua adalah kerana Tok Pa dilihat sebagai seorang tokoh yang terbuka untuk perunding, membawa pendekatan perundingan dan lebih cenderung dengan pakatan pembangkang.

"Ia berbeza dengan pendekatan presiden PAS apabila memutuskan hubungan secara keseluruhan dengan parti-parti pembangkang," katanya.

Justeru, anggota parlimen Pokok Sena itu berpendapat Mustafa tidak lagi sesuai dengan pembawaan politik PAS ketika ini.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusoff (gambar) berpendapat pengguguran tokoh veteran PAS itu adalah wajar ekoran penampilan muka-muka baru barisan kepimpinan parti itu.

"Komposisi kepimpinan PAS sekarang majoritinya tenaga muda, termasuk mereka yang merangka strategi pilihan raya seperti Pengarah Institut Strategi PAS, Dr Mohd Khazani Abdullah, dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki.

"Jadi saya melihat penggantian Datuk Mustafa Ali dengan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai lebih kepada usaha untuk mengurangkan generational gap (jurang generasi) di kalangan pemimpin dan meningkatkan keefektifan gerak kerja parti sahaja," kata Kamarul kepada Malaysiakini.

Tunduk kepada jemaah

Tambah Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, kedudukan Ahmad Samsuri sebagai setiausaha politik presiden PAS juga dilihat lebih memungkinkan gerak kerja pilihan raya parti dilakukan secara "hands on" oleh kerana PRU akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

"Saya tidak melihat pengguguran Mustafa akan mendatangkan kesan negatif terhadap PAS, tambahan pula setiausaha agung PAS sendiri menyatakan bahawa beliau masih memainkan peranan sebagai penasihat parti dan presiden," kata Kamarul.

Namun, berbeza dengan pandangan penganalisis politik Mohd Sayuti Omar apabila beliau berpendapat tindakan mengetepikan Mustafa adalah sambungan usaha untuk mempastikan PAS boleh bekerjasama dengan Umno.

Mohd Sayuti melalui blognya menulis, tindakan ini dibuat selepas 18 rakan mereka yang menentang kerjasama dengan Umno disingkirkan dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Kamarul menolak dakwaan itu.

"Hubungan antara Abdul Hadi Awang dengan Mustafa terlalu lama, sejak 1970-an lagi dan disebabkan kebanyakan pemimpin seangkatan lain sudah tiada, lebih sesuai pengalaman beliau dimanfaatkan tidak melalui hierarki.

"Saya tidak melihat bahawa pengguguran beliau ada hubungan dengan dakwaan beliau masih mahu mengusahakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan kerana jika beliau masih di jawatan itu dan jika beliau betul mempunyai hasrat begitu sekalipun beliau tetap perlu tunduk kepada kehendak jemaah," kata Kamarul.

Mustafa terkenal dengan usahanya untuk cuba merapatkan PAS dengan pembangkang lain khasnya PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).



Tiada ulasan: