HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Mei 2017

Pengerusi SPR: Saya tak kecil hati dituduh ‘kuda tunggangan’ BN

 
Mohd Hashim Abdullah berkata, Abdul Rashid Abdul Rahman tidak akan menyerangnya secara peribadi jika beliau tidak menjadi pengerusi SPR.


Hashim_Abdullah,spr 

PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah tidak kecil hati atau kesal dituduh parti pembangkang sebagai “kuda tunggangan” BN.

Beliau mengulas kritikan Naib Presiden PPBM yang juga bekas pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dengan Ahli Biro Politik PKR, R Sivarasa, Ketua Penerangan Amanah, Khalid Abdul Samad dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dalam satu kenyataan bersama pada Rabu lalu, yang mengingatkannya tidak terlalu tunduk kepada desakan kerajaan dalam memastikan pilihan raya yang bersih dan adil.

Mereka berkata, SPR sebagai badan bertanggungjawab untuk proses pilihan raya demokratik tidak boleh menjadi “kuda tunggangan” BN dengan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak pernah kesal dengan kenyataan dia (Rashid) dan dia tidak serang saya secara peribadi, kalau saya tidak menjadi pengerusi SPR.

“Secara peribadi, saya tidak pernah kecil hati dengan sesiapa pun yang kata saya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR hari ini.

Pada masa sama, Hashim menafikan sekeras-kerasnya beliau menjadikan SPR sebagai “kuda tunggangan” BN.

“Tidak ada (kuda tunggangan), kita tahu apa yang kita buat,” katanya.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, beliau tetap menghormati Rashid sebagai bekas “bosnya” walaupun dikecam beliau.

“Saya cukup menghormati Rashid dan bekas pengerusi SPR. Dulu saya menghormati beliau sebagai pengerusi SPR dan kini saya menghormati beliau sebagai ahli politik,” katanya.

Tiada ulasan: