HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Mei 2017

Pengurus besar anak syarikat Prasarana dan isteri ditahan SPRM

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus besar sebuah anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), iaitu projek Technical Support Rapid Cheras Selatan kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya dan menerima rasuah untuk kepentingan diri.
 
Dalam satu kenyataan kepada Bernama, SPRM berkata, suspek berumur 54 tahun itu ditahan bersama isterinya, 50, pada jam 6.30 petang tadi.
 
Melalui maklumat hasil siasatan awal, suspek disyaki menerima rasuah bagi meluluskan beberapa projek pembekalan bas, alat ganti dan pembaikan bas.
 
“Suspek yang pernah memegang jawatan ketua pegawai operasi Rapid Penang dipercayai menerima rasuah berjumlah RM500,000 sejak 2013 menerusi beberapa projek yang dilaksanakan atas seliaannya.
 
“Selain itu, wang rasuah yang diterima turut dimasukkan ke akaun milik isterinya sejak 2013,” katanya dalam kenyataan itu.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga 5 kali ganda nilai suapan.
 
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kedua-duanya akan direman esok bagi membantu siasatan.
 
 

Tiada ulasan: