HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Mei 2017

Penjara sebahagian ‘perjuangan saya’, kata Lim

MALAYSIAKINI



WAWANCARA l Semakin menghampiri hari perbicaraan kes rasuah, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, beliau sedang mempersiapkan dirinya untuk kes senario paling teruk - dihumban ke penjara.

Ini akan membantu anak-anaknya menerima nasib yang menimpa keluarga itu, meskipun Lim bertegas ia adalah "konspirasi politik untuk mematikan kerjayanya”.

Beliau kesal, jika itu terjadi, dirinya tidak akan lagi dapat berkongsi kasih sayang bersama anak-anaknya - Rachel Lim Shay Wan, Clint Lim Whay Chau, Marcus Lim Whay Khai, yang berusia 20-an, dan Ethan Lim Whay Zen, 10 - mahupun sebagai bapa untuk melindungi mereka.

"Jadi sebagai sebagai KM, saya tidak boleh lindungi anak-anak saya," katanya kepada Malaysiakini, dalam satu temu bual di Komtar.

Penjara adalah “sebahagian daripada perjuangan saya”, kata ketua menteri selama dua penggal itu.
Hukuman penjara bukan sesuatu yang baru buat Lim.

Beliau pertama kali menghabiskan tempoh setahun di penjara pada tahun 1989 atas kesalahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri semasa Ops Lalang.

Setiausaha Agung DAP itu sekali lagi dipenjarakan pada tahun 1994, selama 18 bulan, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, kerana didakwa menyebarkan maklumat palsu mengenai kejadian rogol yang membabitkan seorang ahli politik kanan Umno dari Melaka.

Berhubung perbicaraan akan datang, Lim berkata, beliau akan memberi keterangan di mahkamah untuk membersihkan namanya dan bagi menghentikan percubaan BN untuk memburuk-burukkannya.

Perbicaraan, yang membabitkan 13,000 dokumen dan 60 orang saksi itu bagaimanapun, telah ditangguhkan sehingga rayuan Lim untuk mencabar Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 diselesaikan.

Mengenai kemungkinan dihumban ke penjara, Lim berkata, beliau paling bimbang tentang keluarga, terutama anak bongsunya.

"Kami cuba untuk tidak memikirkannya tetapi ini memberi kesan kepada anak-anak, khususnya dalam pelajaran, dalam kehidupan seharian mereka.

"Jadi kadang-kadang kita tidak tahu bagaimana untuk bercakap mengenainya. Ada kala, mereka tidak mahu memberi gambaran bahawa mereka tidak ambil peduli dengan tidak bercakap mengenainya.

"Tetapi, jika mereka bercakap dengan saya tentang hal itu, mereka tidak tahu bagaimana untuk menyatakan sokongan, dan jika mereka berbual dengan saya, mereka hanya membuat saya berasa sedih dan kecewa," kata Lim.

Beliau mengaku agak terganggu dengan anak bongsunya yang tidak dapat menerima hakikat sekiranya beliau terpaksa meringkuk di dalam penjara .

Menurut Lim, anak bongsunya ternyata "sangat marah" apabila membaca segala "pembohongan" yang dibaca di akhbar mengenai bapanya, sehingga hanya mahu membaca halaman belakang akhbar untuk mengikuti laporan bola sepak.

Tiada ulasan: