HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Mei 2017

Penyelesaian 1MDB-IPIC: Pua persoal sikap pengerusi PAC

MALAYSIAKINI


Anggota parlimen DAP Tony Pua mempersoalkan sikap berdiam diri Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam, Datuk Hasan Arifin berhubung perkembangan terkini 1MDB dan Petroleum Investment Company (IPIC).

Dalam satu kenyataan, Pua menyebut mengenai penyelesaian yang dicapai antara 1MDB dan IPIC selepas setahun proses timbang tara yang melibatkan berbilion-bilion ringgit.

Beliau juga merujuk surat yang didedahkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani minggu lalu, yang mengesahkan bahawa Aabar Investments PJS Ltd (BVI) adalah anak syarikat IPIC.

Pua berkata, perkembangan terkini itu telah mendorong sekali lagi gesaan agar Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad dan PAC membuka semula siasatan ke atas 1MDB.

"Di sebalik menjawab permintaan agar siasatan dibuka semula, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam, Datuk Hasan Arifin kekal berdiam diri.

"Malah, bukan sahaja beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu penting itu yang melibatkan lebih RM15 bilion wang pembayar cukai, beliau juga telah mengelakkan pertanyaan media," dakwa anggota parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Jumlah melebihi RM15 bilion itu merujuk kepada bayaran AS$3.51 bilion yang dibuat 1MDB kepada IPIC atau anak syarikatnya, Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI).

Di samping itu, Pua menegaskan Anggota Parlimen BN Putatan Marcus Mojigoh turut mempersoalkan mengenai surat berkenaan, manakala Anggota Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Seri Aziz Sheikh Fadzir juga bertanya ke mana pergi bayaran lalu yang dibuat kepada Aabar (BVI).

"Walaupun kewujudan sebarang surat yang mungkin sah masih tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa Aabar (BVI) bukan palsu, ia menyerlahkan fakta bahawa keputusan kerajaan mencabar semua logik.

"Lagipun, mengapa kerajaan dalam segala keadaan rasional, mengalah kepada tuntutan IPIC jika tiada apa yang memberatkan di pihak 1MDB? Seperti pepatah Melayu, mesti ada 'udang di sebalik batu'," kata Pua.

Johari, yang menyelia pelan rasionalisasi 1MDB, berkata keputusan Kementerian Kewangan untuk meneruskan prosiding timbang tara itu dibuat selepas pengesahan status Aabar Investments PJS Ltd (BVI).

Malaysiakini, dalam laporan eksklusif, memetik Johari sebagai berkata terdapat satu surat bertarikh 11 Ogos 2016, daripada Pendaftar Hal Ehwal Korporat di kepulauan British Virgin yang mengesahkan Aabar BVI adalah sebuah anak syarikat IPIC.

Pendedahan oleh sumber yang biasa dengan perkara itu mempersoalkan mengapa pasukan Malaysia memilih untuk melakukan penyelesaian, bukannya membiarkan proses timbang tara antara 1MDB dan IPIC, sedangkan ia mempunyai bukti yang kukuh.
 
 

Tiada ulasan: