HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Mei 2017

Perasaan malu dikalangan Melayu semakin terhakis, kata Dr M

Berita Daily Staff

Dalam masyarakat Melayu perasaan malu berbeza dengan orang Jepun. Mereka berasa malu jika kain terlondeh di hadapan orang

KUALA LUMPUR: Masyarakat yang memiliki ramai yang tidak tahu malu tetap akan rosak dan mundur. Anggotanya dan bangsanya akan dipandang hina. Inilah yang sudah terjadi pada bangsa Melayu sekarang.

Demikian kata bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mentafsirkan perasaan malu dikalangan Melayu semakin terhakis.

“Malu adalah perasaan manusia bertamadun apabila melakukan sesuatu yang tidak harus dilakukan mengikut budaya hidup masyarakat berkenaan.”

“Demikian orang Jepun sanggup membunuh diri kerana malu apabila gagal menjalan tugasnya atau tidak sebaik yang diharapkan atau melakukan sesuatu yang tidak baik dalam pandangan masyarakatnya.”

“Dalam masyarakat Melayu perasaan malu berbeza dengan orang Jepun. Mereka berasa malu jika kain terlondeh di hadapan orang. Jika gagal menjalan tugas yang diberi atau diamanah, perasaan malu tidak mengganggu fikiran mereka,” kata Mahathir dalam tulisan terbaru di blog chedet.com.

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Rakyat (PPBM) berpendapat walaupun sudah ada pendapatan yang mencukupi, tetapi jika terdapat peluang untuk melesapkan wang yang diamanah kepadanya perasaan malu tidak menghalang perbuatan yang salah ini.

“Jika mereka mengambil atau melesapkan duit yang diamanahkan kepada mereka juga mereka tidak berasa malu. Jika terjadi padanya sesuatu yang diketawa masyarakat atau dianggap tidak mengikut budaya
mesyarakat Melayu perasaan malu tidak melandanya dengan kuat. Sedikit sangat perasaan malu di kalangan orang Melayu,” tegas beliau.

“Kebanyakan bersedia menerima apa yang diberi percuma tanpa segan-segan. Punca pemberian ini tidak disoal. Satu dari perlakuan yang tidak baik dan sepatutnya memalukan, ialah amalan membodek.

Adakalanya pembodek sanggup memterbalikan perbuatan kerana ingin dipuji oleh tuannya,” ujar beliau.
Katanya, ada yang apabila dituduh mencuri, orang yang tidak tahu malu akan hanya senyum.

“Sepatutnya perasaan malu akan menyerang masyarakat jika ada dikalangannya seseorang atau kumpulan terlibat dengan perbuatan jenayah. Tetapi hari ini ada orang Melayu tidak sedikit pun berasa malu jika dipimpin oleh pemimpin yang diketahui telah mencuri dan melakukan pelbagai jenayah,” jelas beliau sambil menambah bahawa jauh dari menjauhkan diri dari pemimpin seperti ini, ramai juga yang sanggup berkongsi hasil pencurian ini.

“Ada yang menolong menutup jenayah ini dan mendakwa pemimpin tidak tahu dan telah ditipu,” tambah beliau.

Tiada ulasan: