HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Mei 2017

Perjalanan Sasterawan Negara Sahahnon Ahmad Sejauh ni


 
Oleh  Zainudin Maidin

Apabila Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad mencatatkan  di buku autobioghrafinya " Kepada sahabat lama yang sibuk di Pasar Yaakob", yang diberikan,saya terpegun kerana dalam keuzurannya masih mengingati  suatu episod terpenting dalam permulaan kehidupan seorang kawan.
 
Catitan itu membuka lambaran sejarah hidup saya ketika memulakan karier kewartawanan di akhir tahun 50an  sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di usia  lebih 18 tahun kerana  di Pasar Yaakoblah   saya menyewa  sebuah bilik kecil dengan bayaran  lima dollar sebulan(RM5) untuk menjalankan tugas

Disinilah saya mula terdedah kepada kehidupan manusia yang berbagai dari remaja hingga ke tua, peniaga dan pengusaha Melayu kecil dan besar, pemimpin politik dan aktivis masyarakat dan rakan-rakan dari berbagai bidang pekerjaan terutama kaum guru.

Pejabat kecil saya yang sentiasa terbuka pintunya  menjadi  tempat  bertandang ramai orang yang mengenali saya  termasuk Shahnon Ahmad seorang guru  yang mulai menempah nama besar di alam sastera selain dari  mereka  yang bersemangat tinggi sebagai aktivis yang mahu menjadi pemimpin masa depan.

Syed Kechik bin Syed Mohamed yang baru pulang dari belajar secara mengembara  di Amerika Syarikat juga melepak di pejabat saya hampir setiap hari sebelum meninggalkan negara bagi kali kedua untuk belajar undang-undang di London kerana Ijazah Amerikanya tidak diiktiraf. Di sebalik kejayaannya dalam peranan politik dan ahli pernigaan,beliau mempunyai keperibadian bersih.

Syed Kechik  banyak  memberikan inspirasi kepada saya kerana kenikatannya untuk belajar dan menjadi orang yang tersohor sejak sebelum merdeka. Beliau menjadi sahabat setia saya hingga ke akhir hayatnya.

Oleh kerana kedudukan Pasar Yaakob berhadapan dengan jalan raya di Jalan Tunku Ibrahim  yang dihadapannya Pekan Rabu pusat perniagaan orang Melayu di Alor Setar, maka  Pasar Yaakob menjadi pusat  pertemuan ramai dengan di kedai buku, kedai gunting rambut, kedai kopi, kedai-kedai jahitan dan sebagainya.

Mereka terdiri darpada  pegawai-pegawai kerajaan kebanyakannya  guru-guru  yang melepak di sebuah kedai buku atau dikedai jahit dan kedai penggunting rambut.

Disinilah juga terletak  pejabat Azhari Taib Wakil Utusan Melayu Kedah Perlis sebelum saya mengambil tempatnya. Beliau juga adalah ADUN negeri Kedah.

Yang menceriakan kenangan hidup saya disini di hari tua  ialah pendedahan kepada kehidupan remaja yang penuh dengan hiburan, kenakalan, keliaran, kelucuan, dan kecerian.

Disinilah saya mengenali  kaki Hadyai, kaki minum, kaki hisap ganja, kaki judi, kaki ekor, kaki joget , rambong dan sebagainya. Saya bersyukur kerana dapat bergaul dengan mereka ini yang membantu membentuk pertimbangan dan  sikap rasional dalam menilai kehidupan manusia.

Di hari tua bila menemui kawan-kawan ini yang telah pun menjadi "orang baik", kami ketawa bersama kerana setiap wajah yang insaf dan taubat mempunyai cerita yang tersendiri tetapi Shahnon tidak mampu lagi untuk ketawa dalam keuzurannya.

Amatlah kuat dan tepat  ingatan  Shahnon di usia 84 tahun  bila mengatakan   "Pasar Yaakob tempat saya sibok", sesudah saya tidak menemuinya lebih dua puluh tahun. Masih cerah,kuat dan tajam ingatannya.

Di Pasar Yaakoblah  bermulanya hubungan saya yang rapat dengan Shahnon. Beliau pernah  menggunakan nama saya untuk  sebuah cerpennya yang disiarkan oleh Berita Minggu.

Saya boleh mendakwa  mengenali dan  mengetahui Shahnon lebih rapat dan lebih mendalam dari orang lain. Saya mengenali Shahnon  yang biasa dan yang luar biasa disebalik keterampilannya sebagai seorang Sasterawan Negara, sebagai anggota  Al Arqam dan sebagai orang Pas yang akhirnya kembali kepada darah dagingnya sebagai seorang sasterawan .

Beliau mendahului A.Samad Said dalam usaha untuk membetulkan dunia menerusi penulisan dan perjuangan  politik tetapi akhirnya kecewa untuk membetulkan dunia dengan katanya "Aku sudah tidak punya tangan dan kuasa lagi untuk mengubah masyarakat dari yang mungkar kepada yang ma'aruf,aku tahu aku tidak punya lidah atau suara lagi untuk menjerit seperti dulu untuk mengembalikan kemanusiaan ke kefitrahannya yang usul."

Shahnon berkata sekarang " Aku diatas ranjang menunggu saat untuk berpindah ke alam lain bagi menunggu saat kebangkitan semula yang dijanjikan olehNya disana bersama arwah-arwah yang terdahulu'(halaman 182 Perjalananku Sejauh ini- Sebuah autobiografi-Shahnon Ahmad).

Buku ini dihadiahkan  kepada saya ketika saya mengunjunginya bersama dengan Tan Sri Johan Jaafar dan seorang rakan bekas pegawai Utusan Rosle Azmi di rumah anaknya di Bangi baru baru ini. Saya mencari alamatnya di Pulau Pinang tetapi Johan menemuinya sudah berpindah tinggal bersama anak lelakinya Asrol  di Bangi.

Generasi sekarang  tentu masih mengingati  novelnya Ranjau Sepanjang Jalan yang juga telah difilemkan dan  tidak lupa Shahnon  menggemparkan pilihanraya 1999 dengan novelnya  Shit @PukiMak.

Shahnon yang saya temui ini bukanlah Shahnon yang dulu lagi sebaliknya Shahnon yang telah melalui dua proses indoktrinasi  politik dan  keugamaan  yang banyak mengubah fahaman dan  cara berfikirnya  yang membawa keinsafan kepadanya sebagai pernah berada dalam kesesatan sedangkan saya tetap berada di pihak yang tidak pernah melihat kebenaran dalam kedua pertubuhan ini.

Shahnon juga tidak menemui kebenaran tetapi melihat kejatian diri manusia dengan segala kelemahannya disebalik gambaran kehebatan imej mereka. Inilah kebenaran yang menginsafkannya.

Menurut isterinya Kak Wan Fatimah dalam keuzuranya pun  sekarang, Shahnon masih mencatitkan sesuatu di atas kertas  ketika di sorong di kerusi rodanya.

Beliau tidak boleh duduk  lama di atas  kerusi rodanya tanpa ditolak oleh isteri atau anaknya. Buku Perjalananku Sejauh Ini  adalah sebahagian dari hasil tulisannya  di atas kerusi roda.

Shahnon diserang penyakit saraf yang dikenali sebagai Myasthenia Gravis (MG)ketika masih menjadi wakil rakyat setelah menang dalam pilihanraya 1999. Penyakit ini membuatnya suka bersendirian dan lebih mendekati dirinya dengan Allah.

Dalam sakitnya yang panjang, keluar dan masuk hospital, beliau juga menemui bomoh  tetapi akhirnya kembali kepada pakar perubatan yang menyembuhkannya.

Bezanya antara Shahnon dengan saya ialah beliau mengenali haiwan, iblis dan syaitan dalam kalangan manusia  setelah menyertai politik tetapi sebagai wartawan saya  telah berpeluang lebih dahulu mengenali haiwan dan syaitan dalam politik sebelum menyertai politik.

Kewartawanan mendedahkan saya lebih awal  di sebalik keterampilan seseorang yang gagah dan dianggap bersih. Maka itu saya menjadi sinis disebalik pengagungan manusia kepada seseorang pemimpin termasuk pemimpin agama.

Bagi Shahnon semasa dalam harakah PASlah beliau banyak menangis dari ketawa, banyak berdukalara dari senyum gembira kerana langsung bersimpati dan kasihan belas terhadap insan-insan yang merupakan para pemimpin politik yang terlibat dalam berbagai kemaksiatan dan kemungkaran. Realiti ini juga menyebabkan beliau sakit.

" Sewaktu dalam harakah ini jugalah aku dapat membezakan antara kepimpinan yang sejati dengan pemimpin yang palsu( Halaman 7 Perjalanan Ku Sejauh ini)

Tiada ulasan: