HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 Mei 2017

Perompak guna teknologi tinggi intip mangsa

 
'Geng Samun Picu Itik' meletakkan kamera di tempat strategik seperti pasu bunga bagi mengintip pergerakan mangsa sebelum melakukan pecah rumah


shafien-mamat-3

SHAH ALAM: Orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan persekitaran rumah mereka berikutan modus operandi terbaharu penjenayah memasang kamera tersembunyi di rumah bagi mengintip pergerakan mereka setiap masa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata taktik itu terbongkar selepas polis merampas 6 kamera selepas melumpuhkan geng samun dan pecah rumah dikenali “Geng Samun Picu Itik’ yang bergiat aktif sejak 3 bulan lepas.

“Modus operandi geng ini adalah meletakkan kamera di rumah yang menjadi sasaran tanpa pengetahuan penghuni di tempat strategik seperti pasu bunga bagi mengintip pergerakan mereka untuk melakukan pecah rumah.

“Jadi dengan adanya kamera itu, ia berfungsi sebagai CCTV dan boleh disambung pada telefon bimbit penjenayah untuk memantau pergerakan keluar dan masuk penghuni,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Sebelum ini, polis menahan 4 anggota geng berkenaan berumur 24 hingga 41 tahun manakala seorang lagi maut terjatuh bangunan dalam 1 serbuan di sebuah pangsapuri di Setia Alam di sini awal pagi 5 Mei lepas.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menyerbu kediaman berkenaan selepas menerima maklumat mengenai tempat persembunyian sekumpulan penjenayah itu.

Shafien berkata ketika serbuan di tingkat 11 pangsapuri itu, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam berjaya ditahan manakala 2 lagi rakannya melarikan diri dengan memanjat keluar menerusi tingkap rumah terbabit.

Katanya salah seorang suspek kemudiannya terjatuh ke aras bawah bangunan dan disahkan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi bertindak memecahkan tingkap sebelum masuk ke sebuah rumah di tingkat 8 pangsapuri itu.

“Bagaimanapun lelaki itu berjaya diberkas di dalam rumah itu dan beberapa jam kemudian, seorang lagi suspek pula ditahan di perkarangan bangunan berkenaan selepas dimaklumkan oleh pengawal keselamatan,” katanya.

Shafien berkata pemeriksaan lanjut di rumah suspek di tingkat 11 menjumpai 3 bom buatan sendiri, 200 keping wang palsu serta beberapa alat memproses dadah.

Katanya dengan tertangkapnya kesemua suspek geng itu, polis dapat menyelesaikan sebanyak 5 kes samun dan pecah rumah di sekitar Lembah Klang dengan anggaran nilai kerugian RM100,000.

Katanya semua penjenayah, yang ditahan reman sehingga Jumaat ini, disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: