HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Mei 2017

PKR tak tersinggung kritikan Zaid

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR tidak tersinggung dengan kritikan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa pengisytiharan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai Perdana Menteri ke-7 merupakan satu perbuatan 'sombong'. 
 
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata parti itu bukan bersikap sombong sebaliknya mempraktikkan apa yang telah diperjuangkan sejak hampir dua dekad lalu.
 
DAP juga kata Johari, menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri. 
 
"Tidak mengapalah dia mahu komen sebagai seorang ahli politik. Seorang ahli politik biasa lah itu. Saya sedikit pun tidak terasa kecewa, atau terasa hati dengan komen dia. Tiada. Biasa lah tu.
 
"Kita konsisten maka Datuk Zaid Ibrahim dalam Keadilan (PKR) pun dia mahu Anwar Ibrahim. Kita 18 tahun pun kita berjuang kita mahu Anwar Ibrahim. Jadi kita konsisten, bukan kita baru buat ini. Bukan baru buat dalam Kongres ini. Kita konsisten sejak 18 tahun yang dahulu, bukan baru. Bukan sombong, tidak sombong.
 
"Siapa pun boleh kritik, tiada masalah. (Datuk Seri) Najib pun boleh kritik, (Datuk Seri) Samyvellu boleh kritik, Zaid Ibrahim pun boleh. Sesiapa pun. Tiada masalah apa kritik saja. Kerana Zaid Ibrahim dari DAP, DAP pun terima Anwar sebagai Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Terdahulu, Zaid dalam Twitter beliau mengkritik PKR apabila mengangkat plakad 'Anwar PM ke-7' sewaktu kongres parti itu yang disifatkannya tidak menghormati dua pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir.
 
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mendakwa, pengisytiharan bahawa Anwar akan diangkat sebagai Perdana Menteri merupakan satu perbuatan ‘sombong’.
 
Beliau sebelum ini pernah secara lantang menyuarakan sokongan terhadap Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya akan datang.
 
Kritikan Zaid itu kemudian dibidas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa, sebagai seorang ahli politik yang mempunyai sejarah turun-naik, Zaid tidak sepatutnya menyerang rakan-rakan dari pakatan pembangkang.
 
Rafizi juga berkata Anwar tetap relevan dalam arena politik Malaysia. 
 
Zaid kemudian membalas kembali dengan berkata, Malaysia tidak akan memiliki masa hadapan sekiranya diterajui Rafizi ekoran sikapnya yang gemar mengeluarkan kata-kata pedas kepada sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengannya.
 
Mengulas mengenai 'perbalahan' tersebut, Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani menyifatkannya sebagai perkara biasa.
 
"Komen sama-sama pemimpin ini jenuh lah kita kan. Tiada apa lah. Bagi saya tiada apa-apa masalah. 
 
"Siapa nak komen, komenlah. Komen ini tidak membawa apa-apa cacat cela. Tiada apa, biasalah tu," tambahnya

Tiada ulasan: