HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Mei 2017

Polis perketat kawalan di sempadan susulan pengisytiharan undang-undang tentera di Mindanao

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Polis akan mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan negara, terutama di perairan bersebelahan dengan Filipina berikutan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte di wilayah Mindanao, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
 
"Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa berhati-hati dengan apa yang berlaku di negara jiran, Filipina," katanya lapor Bernama.
 
Berikutan pengisytiharan itu, tentera Filipina telah mengarahkan lebih 200,000 penduduk di bandar Marawi, Mindanao untuk meninggalkan rumah mereka sebelum jam 1.00 tengah hari ini.
 
Perintah itu dikeluarkan sejurus selepas jurucakap Duterte, Ernesto Abella membuat pengumuman bagi pihak presiden mengisytiharkan undang-undang tentera di rantau ini semalam, selepas pertempuran sengit antara tentera dan kumpulan militan Daesh.
 
Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang tidak mahu dikenali berkata, kebanyakan penduduk bersetuju dengan arahan tentera, dan berpindah ke bandar di Zamboanga, Pagadian dan Cotabato, kira-kira 10 hingga 12 jam dari Marawi.
 
Penduduk itu ketika dihubungi oleh Bernama News Channel melalui WhatsApp, berkata terdapat banyak sekatan jalan oleh tentera dan pemeriksaan keselamatan ketat di sepanjang jalan untuk mengenalpasti militan, terutamanya daripada Daesh dan Abu Sayyaf.
 
Presiden Duterte sebelum ini telah memberi amaran bahawa undang-undang tentera di Mindanao akan dikuatkuasakan untuk sehingga setahun jika diperlukan, bagi membendung keganasan.
 
 

Tiada ulasan: