HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Mei 2017

POLITIK MATANG ATAU POLITIK MALANG?

 shahbudindotcom



Tidak cukup dengan berpakaian sedondon dan hadir dalam beberapa program bersama Perdana Menteri, Najib Razak sebelum ini, Presiden Pas, Hadi Awang seterusnya menyifatkan kehadiran beliau bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Shabery Cheek dalam majlis pelancaran tukun tiruan di Pulau Kapas baru-baru ini adalah permulaan kepada politik matang antara Pas dengan BN.

“Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.

“Kerjasama ini  (antara Pas dan Umno) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama.

"Insya Allah rakyat akan faham bila mereka menyedari yang kepentingan dan hak mereka dijaga dengan baik. Rakyat boleh berfikir dengan matang di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih penting berbanding teori," kata beliau sebagai mengulas kehadirannya dalam program tersebut.

Susulan kehadiran Hadi yang menjadi perbualan ramai itu, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassin turut mengesahkan bahawa berbaik-baik dengan UMNO adalah satu contoh politik matang dan sejahtera yang akan diamalkan Pas sekarang ini.

"Dulu lagi sebenarnya kita memang hendak hadir program-program kerajaan Persekutuan tapi tak dijemput,  selain keadaan tidak mengizinkan," kata Takiyuddin lagi.

Ooooo....kesimpulan mudah daripada kenyataan Hadi dan Takiyuddin itu ialah berbaik-baik dengan UMNO dan kerajaan adalah lambang politik matang!

Ooooo....Bermakna juga bahawa bermusuh dengan UMNO dan kerajaan bukanlah berpolitik secara matang!



Oooo....rupa-rupanya sejak dulu Pas memang hendak hadir program-program kerajaan Persekutuan, namun tidak hadir kerana tidak dijemput!

Oooo....agaknya kalau dulu lagi dijemput, berebut-rebutlah pemimpin Pas hadir dalam program-program anjuran kerajaan!

Bagaimanapun, ingin juga ditanyakan kepada Pas dan Hadi beberapa soalan:-

Siapa yang selama ini bergaduh dengan UMNO dan melabel pemimpin UMNO sebagai kafir, taghut, assabiyah, sekular, munafik dan macam-macam lagi?

Siapa yang mengeluarkan "Amanat Hadi Awang" yang mencetuskan permusuhan selama bertahun-tahun sesama Melayu dan Islam antara UMNO dan Pas?

Jika benar matang dan dan sejahtera, pernahkah Hadi menarik balik amanat tersebut, mengakui ia sesuatu yang salah ataummeminta maaf?

Jika tidak pernah menarik balik atau meminta maaf, adakah Hadi masih berpegang kepada amanatnya itu sehingga sekarang?

Dalam banyak keadaan, bukan saja Hadi Awang tetapi juga pemimpin-pemimpin Pas yang lain, sementara mendakwa mengamalkan politik matang, mereka juga mengatakan tetap dengan pendirian mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.
Bagaimana untuk menumbangkan seseorang yang sekarang sudah dijadikan rakan karib?

Benarkah masih mahu menjatuhkan atau sekadar sebagai wayang?

Di waktu yang sama, politik matang Pas dengan UMNO ini sebenarnya berlangsung di ketika UMNO sedang lemah, paling mungkin kalah dalam pilihanraya akan datang serta  kedudukan Najib sedang dipaliti skandal terbesar di dunia dan amat memalukan negara.

Kenapa hanya sekarang ini Pas mahu mengamalkan politik matang sedangkan sebelumnya merekalah juara dalam berkelahi dan melabel orang lain dengan bermacam-macam gelaran?

Adakah Pas mahu kalah bersama-sama dengan UMNO?

Politik matang atau politik malang yang sebenarnya jadi pilihan Pas ketika ini?


Tiada ulasan: