HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Mei 2017

‘Proton Saga, (Bukan) Kejayaan Malaysia’, tangisan Dr M

 
Dr Mahathir berkata beliau menangis melihat Proton yang diilhamkannya kini di tangan orang asing.


mahathirproton_600121


PETALING JAYA: Satu masa dulu lagu “Proton Saga Kejayaan Malaysia” berkumandang setiap kali kereta itu ditayangkan di televisyen dan radio bagi meraikan kereta nasional pertama oleh Malaysia yang dilancarkan pada 1985.

Tetapi selepas semalam, kereta nasional itu tidak lagi menjadi “kejayaan Malaysia”, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, pengasas perusahaan otomobil nasional itu, dalam penulisan blognya hari ini.

Beliau membandingkan kejayaan Proton, yang kini dimiliki separuh oleh Kumpulan Geely Holding dari China, umpama kejayaan Singapura kini, yang satu masa dulu sebahagian daripada Malaysia.

Menurutnya, walaupun Singapura maju, rakyat Malaysia tidak boleh berbangga dengan negara itu kerana ia bukan kejayaan Malaysia.

“Kini dengan wang dan teknologi lebih hebat, ia (Proton) akan bersaing dengan Rolls Royce dan Bentley.

“Tetapi saya tidak boleh berbangga dengan kejayaannya. Saya tidak boleh berbangga mengenai sesuatu yang bukan milik saya atau negara saya. Mungkin rakyat Malaysia yang lain, tapi bukan saya,” katanya sehari selepas pengumuman Geely membeli 49.9% saham Proton Holdings daripada DRB-Hicom.

Proton yang ditubuhkan pada 1983 mengeluarkan model pertama Proton Saga pada 1985, dan dijual laris di sebalik galakan kerajaan dan promosi agresif sebagai “kejayaan Malaysia”.

Pada 2001, Proton menguasai bahagian pasaran sebanyak 53%, tetapi ia merosot kepada 14% tahun lalu, di sebalik populariti kereta import dan aduan mengenai mutu kereta Proton.

‘Hari akhir saya yang sedih’

Dr Mahathir, 92, berkata di “hari-hari akhirnya” sekarang, beliau sedih melihat Malaysia dijual sedikit demi sedikit kepada pihak asing bagi membebaskan negara daripada hutang.

Menurutnya, mungkin benar orang asing akan lebih cekap menguruskan ekonomi Malaysia.

“Saya pasti ia juga akan maju. Malah boleh jadi negara maju, menjangkau Wawasan 2020. Ia akan menjadi negara hebat dengan lebuh raya besar, kereta api laju (HSR), bangunan pencakar langit, bandar baharu yang berkilauan dengan taman indah.

“Tetapi saya tidak boleh berbangga!” tulisnya.

Menurutnya, beliau kini tidak mampu berbuat apa memandangkan perjanjian Proton dengan Geely sudah pun dimeterai.

“Proton, buah fikiran saya, sudah dijual. Ia permulaan kepada penjualan lebih besar.

“Lama-lama, kita akan kehilangan negara kita, negara yang sememangnya hebat, yang dimiliki orang lain.

“Saya memang lembik. Saya menangis walaupun rakyat Malaysia tidak menitiskan air mata. Anak saya hilang. Tak lama lagi, negara saya. Maafkan saya,” kata bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.

Tiada ulasan: