HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Mei 2017

PRU14: PAS bakal jadi pengacau, hampakan harapan rakyat

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS boleh dianggap sebagai ‘spoiler’ atau pengacau pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti dan bakal menghampakan harapan rakyat untuk melihat perubahan dalam kerajaan.
 
Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, keputusan PAS untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR juga tidak memberi manfaat kepada sesiapa, bahkan hanya menguntungkan kerajaan Umno-Barisan Nasional.
 
“Saya percaya apa yang dibuat oleh PAS adalah untuk menjadi spoiler pilihan raya ini, gagasan rakyat untuk melihat perubahan, berilah sekali rakyat peluang untuk membentuk sebuah kerajaan baru akan digugat oleh peranan PAS sebagai spoiler.
 
“Jadi tiada siapa yang untung, yang untung ialah BN apabila PAS terus dengan dasar tiga penjuru ini tapi kita tidak ada pilihan kalau mereka ingin teruskan juga, tak kanlah kita nak berundur semata dengan ugutan PAS sahaja,” ujarnya kepada Antarapos.
 
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan keyakinan PAS menghadapi PRU14 dan tidak gentar mengharungi persaingan pelbagai penjuru ketika ucapan penggulungan di Muktamar ke-63 PAS di Kota Sarang Semut, Kedah semalam.
 
PAS juga dilihat semakin yakin bergerak sendiri dan sudah menyatakan hasrat bertanding 80 buah kerusi parlimen pada PRU nanti.
 
Di samping itu, Mohd Anuar berkata, Amanah bersedia bertanding walaupun menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan PAS dan Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang.
 
Katanya, Amanah akan menerima segala pilihan dibuat oleh rakyat pada PRU nanti dan tidak akan berundur daripada mana-mana kerusi dipertanding oleh PAS.
 
“Terpulang kepada rakyat untuk memilih, kami yakin kalau ditakdirkan tiga penjuru sekalipun kita tidak akan berundur, kita akan terus mengemukakan gagasan kita dan kita mengharap rakyat dapat menerimanya, jadi kita akan hadapi apa-apa risiko yang ada.
 
“Terpaksa terima kekalahan itu dan begitu juga bukan Amanah sahaja, PAS juga perlu menerima hakikat mereka akan kalah, mungkin mereka juga akan kalah.”
 
 

Tiada ulasan: