HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Mei 2017

Pulang selepas 24 tahun terkandas di Kemboja


SINAR HARIAN
Pulang selepas 24 tahun terkandas di Kemboja
Mohd Zulkifli Jefri, 54, (dua, kiri) bersama sanak saudara yang menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. Mohd Zulkifli yang berasal dari kampung Tambisan Lahad Datu, tiba dari Kuala Lumpur selepas terkandas di negara Kemboja selama 24 tahun berikutan ketiadaan dokumen perjalanan. - Foto Bernama
 
 
KOTA KINABALU - "Syukur alhamdulillah, semuanya berlaku kerana kuasa Allah," itulah kata-kata Mohd Zulkifli Jefri sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), kira-kira 11.30 pagi tadi dari Kuala Lumpur.

Mohd Zulkifli, 54, yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Kemboja selama 24 tahun kerana ketiadaan dokumen perjalanan, disambut oleh empat anggota keluarganya termasuk sepupu dan bapa saudaranya, Mustapah Ali di KKIA.

Sebaik sahaja Mohd Zulkifli keluar dari balai ketibaan, seorang demi seorang anggota keluarganya meluru ke arahnya lalu mendakapnya erat.

Mohd Zulkifli, dengan pelat bahasa Sabahnya yang masih pekat berkata, selepas berjaya masuk semula ke Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah di sempadan Malaysia-Thailand, dia tinggal di rumah rakannya di Alor Setar selama 40 hari.

"Dua puluh empat tahun bukan masa yang singkat. Saya pun tidak sangka (masih boleh balik Sabah), tetapi semua ini berlaku kerana ALLAH," katanya yang berasal dari Tambisan, Lahad Datu, kepada pemberita yang sedia menunggu beliau di KKIA.

Berdasarkan laporan media nasional sebelum ini, Mohd Zulkifli pergi ke Wilayah Koh Kong, Kemboja pada tahun 1993 bersama 14 rakyat Malaysia yang lain selepas syarikat balak milik rakyat Malaysia mendapat tender membalak di wilayah berkenaan.

Bagaimanapun, pada tahun 1995, akibat pergolakan politik di Kemboja, syarikat balak berkenaan ditutup dan majikannya itu telah menghilangkan diri dengan membawa bersama dokumen perjalanannya (Mohd Zulkifli).

Akibat ketiadaan dokumen perjalanan, Mohd Zulkifli telah tinggal secara haram di Kemboja dan hidup berpindah-randah dari satu hutan ke hutan lain kerana takut ditangkap pihak berkuasa serta menyara kehidupan dengan mengambil upah membelah kayu.

Katanya, pada tahun 2002, dia datang ke pejabat Kedutaan Malaysia di Kemboja bagi meminta bantuan untuk kembali ke Malaysia namun disebabkan proses itu begitu panjang dan kehabisan wang, hasratnya tergendala begitu sahaja.

Bagaimanapun, pada Mac lepas, selepas menempuh perjalanan sejauh 1,400 kilometer dari Koh Kong dengan menaiki kereta dan motosikal sewa, akhirnya beliau tiba di sempadan Bukit Kayu Hitam sebelum menyelinap masuk ke Malaysia.

Mengenai perancangan masa depannya, Mohd Zulkifli berkata, dia belum mahu memikirkan perkara itu sebaliknya mahu meluangkan masa bersama keluarganya dahulu.

Mengenai syarikat pembalakan yang membawanya bekerja di kem balak di Kemboja, Mohd Zulkifli berkata syarikat berkenaan berkemungkinan sudah tidak wujud lagi dan mungkin bekas-bekas majikannya ketika itu sudah ramai meninggal dunia dan baginya, yang paling penting beliau sudah selamat kembali ke Sabah.

Ditanya mengapa pihak kedutaan Malaysia di Kemboja tidak membantunya untuk pulang ke Malaysia semasa berkunjung ke pejabat kedutaan itu pada tahun 2002, Mohd Zulkifli berkata kedutaan memberitahunya bahawa mereka tidak dapat menghubungi keluarganya (Mohd Zulkifli).

Mohd Zulkifli juga berkata, sekembalinya ke Malaysia dia sudah berhubung dengan anak-anaknya  dan akan balik ke kampung halaman di Pulau Tambisan esok untuk menemui mereka dan saudara-maranya yang lain di sana.

"Saya berterima kasih kepada Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail) atas pertolongan baginda. Setiausaha sulit baginda telah menolong saya dalam usaha memohon MyKad," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Zulkifli agak terkilan kerana pihak Jabatan Pendaftran Negara (JPN) di Putrajaya mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan MyKad kepadanya walaupun semua dokumen berkaitan yang menunjukkan beliau adalah rakyat Malaysia dari Sabah sudah jelas.

Sementara itu, bapa saudara Mohd Zulkilfli, Mustapah, 57, berkata beliau tidak menyangka akan bertemu lagi dengan anak saudaranya itu dan menyangka dia (Mohd Zulkifli) mungkin sudah meninggal dunia selepas terputus hubungan selama 24 tahun.

Mustapah yang gembira menemui anak saudaranya itu berkata, berita terakhir yang diterima daripada Mohd Zulkifli ialah pada tahun 1993 semasa anak saudaranya itu baru memulakan kerja di Kemboja dan selepas itu langsung tiada khabar berita. - Bernama

Tiada ulasan: