HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 Mei 2017

Pusat judi haram makin berleluasa, apa KPN buat?


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Masalah pusat judi haram khususnya di Lembah Kelang nampaknya masih belum selesai.

Lebih membimbangkan, ia semakin tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan dipercayai menjadi penyebab berlakunya peningkatan jenayah.

Terkini, pada Jumaat lalu, negara dikejutkan dengan insiden samun dan rogol di Puchong di sebuah pusat judi haram melalui rakaman litar tertutup (CCTV).

Apa yang menjadi persoalan kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, mengapa pusat-pusat judi haram ini semakin bertambah.

Sedangkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Oktober 2014 lalu telah mengarahkan Ketua Polis Daerah (KPD) dan Ketua Polis Balai untuk ‘membersihkan’ pusat judi haram ini dalam tempoh seminggu atau tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.

“Dua tahun setengah telah berlalu sejak Khalid membuat pengumuman tersebut. Namun pusat judi haram makin menjadi-jadi.

“Di Lembah Kelang, terutamanya di Kuala Lumpur, gejala sosial ini terdapat di mana-mana kawasan komersial dengan kehadiran pekerja asing,” kata beliau.

Malah kata Lip Eng, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) juga telah mengumumkan bahawa setiap KPD dan KPB di seluruh negara akan ‘diintip’ bagi memastikan kegiatan mesin perjudian dapat dibanteras habis-habisan di peringkat negeri dan daerah.

“Khalid mesti menjelaskan kenapa Ketua Polis Daerah Serdang yang bertanggungjawab bagi kawasan jenayah terbabit belum dipecat dalam masa 24 jam.

“Saya menuntut Khalid untuk mengisytihar ‘perang’ ke atas pusat-pusat judi haram ini sekali lagi. Dan kali ini jika beliau gagal, beliau lah yang harus meletakkan jawatan,” ujarnya.

Ketagihan untuk berjudi dan menyalahgunakan dadah jelas Lip Eng merupakan punca utama berlakunya gejala sosial seperti penipuan, rompakan malah pembunuhan.

Lebih membimbangkan, berdasarkan rakaman CCTV yang tersebar melibatkan insiden di Puchong minggu lalu, pusat judi tersebut tersebut dilengkapi begitu banyak mesin judi.

“Maknanya pusat judi tersebut pastilah mempunyai ramai pelanggan dan perniagaannya benar-benar maju.

“Lebih buruk lagi, saya percaya ramai kaki judi ini adalah pekerja asing, yang ramai daripadanya mungkin tidak mempunyai dokumentasi,” katanya lagi. –Roketkini.com


Tiada ulasan: