HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Mei 2017

Rasuah: Bekas kakitangan UniMAP dan suami didakwa

THE MALAYSIAN TIMES



KANGAR: Bekas kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan suaminya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan berkaitan rasuah bernilai lebih RM60,000 empat tahun lepas.

Norfadilla Wahida Radzi, 35, dan suaminya Mohd Fadzril Safry Mohamed Soofi, 39, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Norfadilla Wahida didakwa menyalahgunakan jawatan sebagai Pembantu Tadbir
(Perkeranian/Operasi) untuk mendapatkan suapan dengan memasukkan borang pesanan berkaitan perkakasan dan komponen makmal ke dalam sistem kewangan Syarikat Zerofreak Enterprise milik suaminya.

Dia didakwa melakukan kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Mohd Fadzril pula dituduh bersubahat dengan isterinya untuk menyalahgunakan jawatan bagi mendapat suapan bagi pihak dirinya mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara April dan Julai 2013 di Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, di sini yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar mencadangkan kepada mahkamah agar kedua-dua tertuduh ditawarkan jaminan RM50,000 setiap seorang berikutan kes yang disifatkan serius.

Azman kemudian membenarkan jaminan RM30,000 kepada Norfadilla Wahida dan RM20,000 kepada Mohd Fadzril, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah dan menetapkan 14 dan 15 Ogos depan untuk perbicaraan kes.–Bernama

Tiada ulasan: