HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Mei 2017

Rawatan terapi ozon boleh menyebabkan kematian

Mohd Hilmi Mohd Ali
S. Subramaniam foto: FAREEZ FADZIL,


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan rawatan terapi ozon yang melibatkan penggunaan mesin terapi ozon, suntikan ke dalam saluran darah dan darah tersebut diproses menggunakan mesin tersebut merupakan rawatan yang tidak diiktiraf.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata, terapi ozon juga tidak memberikan sebarang manfaat kesihatan malah rawatan tersebut boleh membahayakan nyawa akibat komplikasi perubatan termasuk punca kematian.

“Terapi tersebut mendedahkan pengguna kepada risiko pendarahan daripada penggunaan heparin, embolism (penyekatan salur darah oleh gelembung udara), jangkitan kuman akibat peralatan yang tidak steril dan kehilangan upaya yang kekal berpunca daripada kegagalan organ seperti buah pinggang.

“KKM mendapati terapi ozon ini adalah disediakan di pelbagai jenis premis perniagaan termasuk klinik, salun kecantikan dan ianya dikendalikan oleh profesional jagaan kesihatan dan orang yang tidak berkelayakan,” kata Subramaniam dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan Penilaian Teknologi Kesihatan oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM (MaHTAS), tiada bukti saintifik yang menyokong sebarang manfaat terapeutik penggunaan terapi ozon bagi mana-mana penyakit.

“Maka, KKM mengambil serius perkara ini dan pengawalseliaan terapi ozon ini perlulah mengikut ketetapan perundangan perubatan sedia ada,” katanya.

Tambahnya,  ia perlu selaras dengan ketetapan Seksyen 2 dan 5, Akta Peranti Perubatan 2012 [Akta 737].
Malah mesin terapi ozon ditafsirkan sebagai suatu peranti perubatan yang perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (Medical Device Authority (MDA)).

Jika tidak didaftarkan ia perlu ditarik semula pengedaran serta penggunaan mesin tersebut dari pasaran, selewat-lewatnya 1 Julai 2017.

“Mana-mana establismen, pembuat, pengimport atau pengedar mesin terapi ozon yang mengimport, mengeksport atau meletakkan dalam pasaran apa-apa mesin terapi ozon perlu memohon lesen establismen dan pendaftaran peranti di bawah Akta 737 dengan MDA,” tegasnya.

Kegagalan mematuhi ketetapan tersebut boleh menyebabkan tindakan perundangan diambil dan disabitkan denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.- Malaysia Gazette.


Tiada ulasan: