HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Mei 2017

Saya tak ganggu rezeki orang lain – Siti Nurhaliza

 
Sesi fotografi bersama Penyanyi tanah air, Datuk Siti Nurhaliza pada Majlis Anugerah Aidilfitri Creation by Datuk Siti Nurhaliza di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 MEI 2017.


Mohammad Arif Nizam

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza menafikan beliau mengganggu rezeki peniaga kecil apabila menceburi bisnes pakaian wanita sejak setahun yang lalu.

Siti, 38, berkata, pada masa sama, tidak timbul juga isu beliau tamak selepas berjaya sebagai artis dan ahli perniagaan produk kecantikan, SimplySiti.

“Memang impian Siti sejak dulu lagi ingin memiliki koleksi pakaian sendiri. Lagi pun dalam agama, kita digalakkan meniaga.

“Yang penting, jalan yang betul dan halal. Bagi Siti, ia adalah persaingan yang sihat dengan peniaga lain.

“Malah Siti terlibat sama dalam elemen kreativiti dalam menghasilkan koleksi pakaian. Jadi tidak timbul Siti tamak hendak buat macam-macam bisnes,” katanya.

Siti ditemui pihak media selepas majlis pelancaran Anugerah Aidilfitri 2017 Creacion By Datuk Siti Nurhaliza di Hotel Royal Chulan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas persaingan yang bakal dihadapi peniaga kecil yang terpaksa bersaing dengan artis nama besar seperti dirinya dalam bisnes yang sama.

Dalam pada itu, jelas Siti, beliau mengakui artis memiliki kelebihan apabila menceburi bidang perniagaan.
“Pembeli sebenarnya ada banyak pilihan untuk memilih koleksi pelbagai jenis.

“Namun ia juga kesempatan untuk golongan artis mementingkan kualiti produk terbaik dalam perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu, koleksi Anugerah Aidilfitri 2017 Creacion By Datuk Siti Nurhaliza akan berada di pasaran bermula 10 Mei ini.

Ia menampilkan dua koleksi istimewa untuk golongan wanita yang merangkumi 40 rekaan daripada The Nostalgia Series dan 15 rekaan daripada The Premium Serius.

Harga yang ditawarkan bagi kedua koleksi itu bermula serendah RM189 hingga RM500. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: