HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Mei 2017

Segera selesai isu banjir di Klang

OLEH NORHAYATI UMOR

IMG_3658


KLANG: Pihak bertanggungjawab digesa segera menyelesaikan isu banjir di Jalan Sungai Batu, Taman Klang Utama yang kerap berlaku sejak dua tahun lalu.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan berkata, masalah banjir di kawasan itu sering berulang walaupun projek pembinaan kolam tadahan sudah bermula dan sepatutnya siap mengikut tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan projek pembinaan Kolam Tadahan Dan Sistem Kawalan Banjir yang sepatutnya siap, pada 30 Mac lalu masih dalam pembinaan.

“Isu banjir dan kolam tadahan ini mula tercetus apabila penduduk di Taman Klang Utama membuat demonstrasi ekora banjir, pada 12 November 2015.

“Pada 16 November 2015, perbincangan saya dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjanjikan satu kolam tadahan di Taman Klang Utama.

IMG_3657

“Kerajaan Negeri meluluskan RM600,000 untuk projek itu dan tambahan RM200,000 bagi pembelian pam khas dari Jerman untuk digunakan di kolam tadahan terbabit,” katanya ketika melawat kawasan berkenaan, baru-baru ini.

Manivannan berkata, penduduk kini mula mempersoalkan berkenaan kelewatan projek, kewibawaan kontraktor, spesifikasi kolam tadahan dan keselamatan di kawasan persekitaran.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk menyediakan pam sementara yang mempunyai kuasa dan kapasiti tinggi di kolam tadahan terbabit sehingga menunggu pam khas ditempah dari Jerman.

“Manakala, longkang ditutup (mengikut keperluan) untuk mengelakkan air dari luar mengalir dan memasuki Jalan Sungai Batu dan kawasan persekitarannya.

“Lubang aliran air di kawasan persekitaran juga wajar ditutup kerana air mengalir ke luar dari lubang ini dan memasuki kawasan perumahan,” katanya.

Tiada ulasan: