HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Mei 2017

Selangor tidak stabil, kata Najib

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Krisis politik dalaman di kalangan parti pembangkang khususnya di Selangor sedikit sebanyak akan memberi kesan yang buruk kepada rakyat.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu berada dalam keadaan tidak stabil  sekiranya PAS atau DAP menarik diri daripada kerajaan, sekali gus menjejaskan kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri.
 
"Konflik dalaman akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian pada rakyat. Kerajaan yang diperintah mereka ini berpecah belah dan boleh mengakibatkan ekonomi merudum.
 
"Kepimpinan yang tidak sehaluan akan mendorong Kabinet bertukar dengan kerap. Kesannya, kelangsungan perkhidmatan asas yang disediakan kerajaan akan terhenti atau tergugat," katanya dalam catatan di blog rasminya bertajuk 'Ucapan Perdana Menteri Mengenai Kestabilan Politik'.
 
Kenyataan Najib merujuk kepada situasi dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali itu.
 
Baru-baru ini tersebar mesej di media sosial mengatakan empat ADUN PKR akan meninggalkan parti tersebut untuk menubuhkan kerajaan campuran yang baru.
 
Ia semakin bertiup kencang apabila dikhabarkan empat ADUN PKR termasuk dua ADUN Bebas itu berkunjung ke Istana Selangor pada petang Rabu bagi menghadap Sultan Selangor untuk menyatakan penarikan sokongan terhadap Azmin.
 
Empat ADUN PKR yang dinamakan itu ialah Batu Tiga, Rodziah Ismail; ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi; ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad dan ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari.
 
Dakwaan itu bagaimanapun ditepis pemimpin PKR lain termasuk Naib Presiden, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang menegaskan ianya tidak benar sama sekali.
 
Malahan, desas desus itu turut dinafikan Exco kanan PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad kononnya akan berlaku peralihan kuasa pemerintahan di Selangor susulan keputusan Muktamar PAS memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.
 
 

Tiada ulasan: