HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Mei 2017

Selepas ditampar, Teo dituduh jadi agen pembangkang ganggu majlis Najib

 
Ali Tinju mendesak polis mengambil tindakan segera terhadap David Teo supaya beliau insaf dan tidak mengulangi tindakan biadab terhadap perdana menteri serta orang Melayu.
 
 
ali-tinju-_report


KUALA LUMPUR: Mohd Ali Baharom  (gambar, tengah) yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju mendakwa penerbit filem dan drama, Datuk David Teo dibayar parti pembangkang untuk mengganggu Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Presiden Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia (Pembela) itu turut menuduh Teo sebagai tali barut DAP yang mahu memalukan perdana menteri di khalayak ramai.

“Saya yakin dan saya terbaca dalam Facebook dan WhatsApp, ada pihak kata David ini tali barut DAP.

“Saya ingin pertikai kehadiran David. Ini kerana seolah-oleh beliau menerima upahan pemimpin pembangkang yang tidak bertanggungjawab seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mungkin daripada pemimpin DAP yang cuba membayar David hadir untuk membuat kacau dalam program yang amat baik.

“Mungkin dia dibayar, kalau tidak dia tidak akan buat begitu. Malah, kita lihat David ini selalu buat masalah terhadap orang Melayu, buat tindakan biadap terhadap Melayu,” katanya merujuk tindakan Teo menghina Tan Sri P Ramlee sebelum ini.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap kebiadaban Teo di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, hari ini.

Dialog TN50 semalam dipengerusikan pelakon, Datuk Rosyam Nor. Bahang mula terasa selepas Teo mempersoalkan tindakan Rosyam tidak memberi peluang kepada hadirin di barisan belakang mengajukan soalan kepada Najib.

Selepas Rosyam membuka ruang kepada Teo untuk bertanya soalan, Mat Over tiba-tiba muncul dan menampar Teo. Pergelutan yang berlaku kemudiannya dileraikan pasukan keselamatan.

Insiden itu disiarkan secara langsung menerusi Facebook semalam. Najib kemudian dilihat menenangkan keadaan dengan berkata “Relaks, relaks”.

Ali Tinju yang hadir bersama peguamnya mahu polis mengambil tindakan segera terhadap Teo supaya beliau insaf dan tidak mengulangi tindakan biadab terhadap perdana menteri serta orang Melayu.

Beliau turut mencabar Teo menyamannya dan mendesak pihak berkuasa menarik balik gelaran mejar kehormat yang diberikan kepada pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG).

“Jika David tidak puas hati dengan kenyataan saya, saya minta dia bawa kes ini ke mahkamah untuk kita teruskan pengadilan di mahkamah dan saya sedia untuk dibawa ke mahkamah,” katanya yang menyokong tindakan Mat Over menampar Teo.

“Saya minta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein adakan mesyuarat tergempar untuk menarik serta-merta gelaran mejar kehormat yang diberikan kepada David.

“Saya juga minta pihak berkuasa mengharamkan filem yang dihasilkan David supaya dia berubah dan bertaubat dan tidak tidak mengulangi kesalahannya.”

 LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: