HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Mei 2017

SPRM lancar Gerah, 3J perangi rasuah bersama rakyat

MALAYSIAKINI



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) di seluruh negara.

Menerusi Gerah, seramai 2,000 anggota dan pegawai SPRM akan digerakkan ke seluruh negara setiap bulan untuk mendekati rakyat.

“Program ini akan diadakan serentak setiap bulan bagi mencetuskan satu perubahan yang agresif dan drastik dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan meletakkan rasuah sebagai musuh nombor satu negara.

"Anggota dan pegawai yang terbabit akan turun padang dan berjumpa dengan masyarakat, sekali gus menjalin rangkaian kerjasama supaya rakyat sentiasa bersama SPRM dalam perang menghapuskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad pada sidang media sempena pelancaran Gerah, di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, Gerah adalah gelombang perubahan terhadap masyarakat supaya membenci rasuah, memandang jijik kepada pesalah rasuah serta mempunyai kekuatan dalaman untuk mengatakan tidak kepada rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam ucapannya, Dzulkifli juga menggesa lebih banyak syarikat supaya tampil ke hadapan sekiranya berdepan dengan gejala rasuah dalam urusan perniagaan mereka.

Selain Gerah kata Dzulkifli, SPRM juga akan secara selari melancarkan satu lagi kempen dinamakan 3J iaitu ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle’ dengan kerjasama agensi-agensi media.

“Kempen 3J ini bertujuan untuk menyampaikan satu mesej kesedaran terhadap rakyat agar mereka tidak terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa melalui cara penerimaan mahupun pemberian rasuah,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: