HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Mei 2017

Sudah lima tahun nelayan asing ceroboh perairan Sedili

 BERNAMA

Bot nelayan asing menggunakan pukat ganding mengaut hasil laut menyebabkan tangkapan nelayan tempatan terjejasBot nelayan asing menggunakan pukat ganding mengaut hasil laut menyebabkan tangkapan nelayan tempatan terjejas


Perairan Sedili yang kaya dengan pelbagai hasil laut didakwa sering diceroboh nelayan asing.

Anggota Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sedili, Bidin Sulong berkata kehadiran nelayan asing itu dikesan lebih kerap berlaku sejak lima tahun kebelakangan ini dengan menggunakan pukat tunda untuk mengaut hasil laut.

"Sistem tundaan bot nelayan asing ini bukan seperti sistem yang digunakan nelayan tempatan.
Nelayan asing menggunakan bot ganding berserta dua atau tiga pukat yang ditunda dengan kabel, berbanding nelayan tempatan yang menggunakan tali untuk menunda.

"Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mengancam spesies ikan malah merosakkan rumah ikan, bubu dan tukun nelayan tempatan," katanya kepada pemberita.

Beliau yang berpengalaman sebagai nelayan sejak 40 tahun lepas berkata nelayan asing turut bersikap agresif malah ada yang pernah bertindak menyemburkan pam air berkelajuan tinggi ke arah nelayan tempatan yang cuba menghampiri mereka.

"Mereka berani bertindak agresif sebab mereka ramai, sekurang-kurangnya 30 orang dalam 12 atau 13 bot berbanding nelayan tempatan yang hanya ada lima orang dalam satu bot.

"Ada ketikanya usaha nelayan tempatan turun ke laut bagaikan tidak pulang modal apabila hasil tangkapan mereka kurang memuaskan. Perkara ini sudah bertahun berlaku dan kami tidak tahu berapa lama lagi daripada kami mampu bertahan," kata Bidin.

Beliau menggesa pihak berwajib supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap bot ganding warga asing.

Beliau tidak menolak kemungkinan nelayan asing tersebut menggugat anggota keselamatan yang bertugas di sekitar perairan tersebut.

Menurutnya, terdapat lebih 1,000 nelayan di sekitar perairan Sedili, namun hanya 574 orang daripadanya berdaftar dengan PNK Sedili.

Isu nelayan asing turut melibatkan kehilangan sebuah bot milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) ketika mengusir mereka di perairan Sedili pada Sabtu lepas.

Tiada ulasan: