HALAMAN SANTAI

Jumaat, 12 Mei 2017

Sultan Selangor bertitah jangan salah guna masjid untuk berpolitik

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
RAWANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengingatkan rakyatnya supaya tidak menyalahgunakan kesucian masjid untuk kepentingan berpolitik.
 
Baginda bertitah demikian di Perasmian Masjid Perodua di Ibu Pejabat Perodua, di sini tengah hari tadi.
 
"Masjid adalah tempat bagi seluruh umat Islam beribadat tanpa mengira pangkat, darjat, jantina dan umur seseorang. Namun begitu dalam usaha-usaha kita untuk beribadat serta mendapatkan pahala, janganlah kita menyalahgunakan masjid untuk kepentingan diri sendiri, terutama dalam hal-hal keduniaan.
 
"Beta tidak berkenan sekiranya terdapat sesiapun menggunakan masjid untuk berpolitik, mengadakan ceramah-ceramah yang tidak berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan, serta mempengaruhi umat Islam ke arah sesuatu yang meragukan atau menyesatkan," demikian memetik titah Baginda.
 
Sehubungan itu baginda mahu kesemua masjid dan surau di negeri itu didaftar dan diletak di bawah pengawasan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mengelakkan perbuatan salah guna dan penyelewengan dana, termasuk pengembangan agama dan ajaran sesat yang berleluasa sejak kebelakangan ini.
 
Sebelum ini beberapa insiden melibatkan penyalahgunaan masjid dilaporkan, membabitkan beberapa ahli politik pembangkang.
 
Januari lalu Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad didenda sebanyak RM2,900 kerana memberi takzirah tanpa tauliah di sebuah surau enam tahun lalu. 
 
Beliau didakwa di bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor).
 
Bukan itu sahaja, wakil rakyat bukan Islam juga pernah mencetuskan kontroversi kerana memasuki masjid, atas alasan menyampaikan bantuan.
 
Mereka adalah bekas ahli parlimen Selayang, William Leong Jee Keen yang didakwa dibenarkan masuk ke dalam Masjid At-Taqwa, Selayang Baru dan berada di saf paling hadapan untuk memberi sumbangan kepada penduduk setempat tahun lalu.
 
Malah tindakan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang memberi 'takzirah' di dalam ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, pada 2010, turut menimbulkan kemarahan umat Islam kerana menghina masjid apabila tidak menutup aurat.

Tiada ulasan: