HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Mei 2017

Surat terbuka Ezam kepada Majlis Syura PAS

ULASAN l Ke hadapan Al Fadhil tuan-tuan guru, ustaz-ustaz dan tuan-tuan ahli Majlis Syura PAS yang saya muliakan.

Pertamanya saya memohon maaf kerana menemui tuan-tuan hanya menerusi warkah terbuka ini.

Surat ini lahir dari hati sanubari saya sendiri setelah mengikuti perkembangan PAS akhir-akhir ini dan keputusan-keputusan yang telah diambil dan akan diambil oleh PAS dalam meneruskan perjuangan sebagai sebuah parti.

Saya mengikuti perkembangan PAS kerana seperti ramai rakyat Malaysia lain di negara ini melihat PAS sebagai sebuah parti besar dan panjang sejarahnya dan tentunya relevan dalam konteks perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara secara keseluruhannya.

Lebih penting bagi saya sendiri kerana secara peribadinya saya kenal dekat dengan ramai kalangan pimpinan PAS kerana pada era awal Reformasi saya memimpin Pemuda PKR bersama
Pemuda PAS dan lain-lain bergerak ke seluruh pelosok tanah air bersama.

Seingatan saya tidak ada kawasan PAS di tanah air ini yang saya dan rakan-rakan tidak kunjungi.

Pada masa itu juga saya mengetuai jentera pilihan raya PKR dan berkesempatan dekat dengan pimpinan utama PAS termasuk Presiden Almarhum Ustaz Fadzil Nor. Justeru semasa saya dan rakan-rakan ditahan ISA dan selepas itu saya di bawah OSA Almarhum Presiden PAS sendiri mengetuai kempen membebaskan kami.

Semasa saya berjuang melawan rasuah menerusi wadah GERAK selepas tidak aktif lagi di dalam politik parti, saya dan pimpinan GERAK menganugerahkan tokoh politik paling bersih kepada Almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang pada masa itu menjadi MB Kelantan.

Saya percaya pada ketika itu dan sehingga hari ini Almarhum merupakan tokoh politik negara yang paling bersih dan bebas rasuah.

Ramai dari kalangan tuan-tuan mengenali saya dan obsesi saya kepada setiap usaha melawan rasuah. Saya menyertai Umno kembali juga atas asas yang sama.

Pada ketika itu Tun Abdullah Badawi menjadi PM dan merancang melakukan rombakan besar-besaran BPR kepada SPRM. Sebagai Pengerusi GERAK saya diminta terlibat dan membantu.

Saya percaya pada ketika itu usaha PM Pak Lah dalam rombakan Akta BPR kepada Akta SPRM adalah suatu langkah perubahan melawan rasuah paling signifikan bagi pihak kerajaan.

Surat ini juga maudu' nya juga tetap soal rasuah. Fitnah atau dalam bahasa kita cabaran dan masalah terbesar umat. Dan hari ini cabaran rasuah paling besar kerana ia berlaku secara terang-terangan dan besar-besaran di kalangan pemimpin tertinggi bersama keluarga dan kroninya.

Malaysia dikenali sebagai model kleptokrasi terbesar dunia terkini.

Maruah negara,agama dan bangsa kita parah dengan hakikat ini. Lebih parah apabila Umno sebagai parti terkuat Melayu yang melahirkan PM sejak merdeka dipaksa terus mendokongnya juga dengan sogokan rasuah.

Saya bersama mereka pada ketika itu.
Saya tahu mereka tahu tetapi mereka tetap menyokong pemimpin rasuah ini kerana mereka juga dirasuah wang dan jawatan ataupun kerana mereka juga melakukan rasuah dan diancam sekiranya melawan.

Oleh kerana itu saya bertindak keluar dari Umno dua tahun lalu dan meletakkan jawatan JUSA tertinggi di Kementerian Kewangan walaupun kontrak saya masih panjang.

Tentunya ia bukan keputusan yang mudah tetapi fakta yang ditampilkan jelas menunjukkan perlakuan rasuah,salahguna kuasa, kecurian wang rakyat dalam jumlah besar dan berleluasa dan tindakan-tindakan menutup pekung-pekung ini dengan mengorbankan penjawat-penjawat awam yang berintegriti dan jujur adalah sesuatu yang tidak boleh sama sekali kita kompromi.

Tuan-tuan guru, ustaz-ustaz dan tuan-tuan yang saya muliakan,

Saya meninggalkan jawatan JUSA tertinggi didalam kerajaan dan parti Umno kerana bahana rasuah sudah menjadi barah di dalam Umno dan kerajaan yang dipimpin Umno.

Kalau tidak esok, lusa atau satu hari nanti pastinya pekung ini akan terbongkar jua.

Mereka hanya bertahan kerana berselindung dibawah akta seperti OSA, penjawat awam utama yang dirasuahkan dengan jawatan untuk melindungi mereka, dan media utama milik mereka yang terus menutup cerita kebenaran.

Namun semuanya ini pasti akan lenyap dan pada waktu itu segala-galanya akan timbul di permukaan.

Malah pada saat ini pun pemimpin-pemimpin rasuah ini sedar semakin ramai rakyat sudah tahu dan sokongan terhadap mereka semakin hilang. Zaman cyber ini tidak memungkinkan pekung rasuah ditutup rapat-rapat walaupun cuba ditutup ketat-ketat.

Maka mereka mengatur strategi baru untuk terus berkuasa. Ia berlaku beberapa tahun lalu dan pada masa itu saya masih bersama mereka.

Saya masih ingat dipanggil segera ke pejabat PM untuk membincangkan strategi menghadapi dakwaan-dakwaan rasuah dan penyelewengan yang semakin banyak terhadap pentadbiran Najib termasuk 1MDB dan SRC.

Saya cadangkan Najib dan pejabat PM dan jentera kerajaan dan parti menjawab semua dakwaan itu. Itulah kali terakhir saya dipanggil oleh mereka.

Rupanya Najib dan penasihat-penasihatnya tidak suka apabila saya minta mereka jawab setiap dakwaan yang ditampilkan.

Strategi mereka ialah untuk tidak menjawab dakwaan dan mengalihkan kebenaran dakwaan dengan menyerang sesiapa sahaja yang membuat dakwaan dan membawa maklumat benar mengenai pekung rasuah mereka.

Satu lagi strategi bagi menutup kegagalan mereka menjawab dakwaan ialah dengan mengenalpasti musuh yang boleh menggugat kedudukan mereka dengan dakwaan2 rasuah itu.

Mereka kenalpasti musuh yang boleh menggugat mereka ialah PAS. Di situlah bermula strategi untuk meneutralkan dan melemahkan PAS.

Bermula dari saat itu bermula gerakan-gerakan khusus mendekati pemimpin PAS. Mereka yang terlibat sudah pasti tahu hal ini.Mereka juga tahu saya tahu kerana pada peringkat awalnya saya terlibat.

Saya tahu hampir semua individu yang terlibat di pihak Umno dan juga PAS ini.Saya tidak mahu mengaibkan sesiapa kerana itu bukan tujuan saya. Malah tidak salah sesama Islam berbaik sesama kita.

Yang salahnya apabila niat berbaik itu adalah sebenarnya satu helah dan tipu daya untuk melindungi pemimpin perasuah yang terdesak kerana jenayahnya sudah diketahui dunia.

Maka berhati-hatilah tuan-tuan. Berhati-hati lah dengan mereka yang berkuasa dan sedang menjunam ke jurang jahanam akibat kerakusan mereka mencuri khazanah negara dan rakyat.

Jumlahnya berpuluh-puluh billion, beribu-ribu juta.

Baru-baru ini sebelum muktamar PAS golongan pemimpin rasuah ini beri bantuan sekolah-sekolah agama RM80 juta.Bandingkan dengan satu lukisan yang dibeli oleh mereka mengguna dana 1MDB yang ditanggung rakyat berharga AS$80juta.

RM80 juta untuk semua sekolah agama. AS$80 juta (RM240 juta) untuk satu lukisan. Itu baru harga sebuah lukisan.

Mereka beli hampir sepuluh buah lukisan. Belum lagi soal belanja filem separa lucah. Belanja parti dan kasino. Apartment mewah dan lain-lain. Lihat dan selidikilah kerakusan mereka ini.

Saya tidak minta keputusan tuan-tuan hanya dari isi surat ini.Yang saya minta untuk diperhalusi dan diteliti semua maklumat yang pernah ditampilkan pada tuan-tuan oleh penjawat-penjawat awam yang tidak tahan melihat rasuah berleluasa.

Saya tahu banyak maklumat ditampilkan kepada tuan-tuan.

Saya juga minta tuan-tuan faham betul-betul kelunakan dan perubahan sikap mereka terhadap PAS hari ini atas motif apa.

Saya tahu dan faham motif sebenar mereka kerana saya bersama mereka pada ketika itu. Saya akui pada awalnya saya mendokong usaha berbaik-baik ini kerana perpaduan dituntut agama kita.

Tetapi setelah semakin jelas ianya bukan untuk perpaduan sebenar tetapi untuk menutup pekung rasuah dan penyelewengan mereka yang terlalu banyak dan menyelamatkan kedudukan mereka untuk terus berkuasa dan melakukan lebih banyak rasuah, saya membuat keputusan untuk meninggalkan mereka dan melawan mereka habis-habisan.

Merekalah pengkhianat agama dan bangsa. Menggunakan agama dan bangsa untuk menutup perbuatan jijik mereka merompak hak rakyat.

Mereka tidak pernah anggap PAS kawan mereka. Mereka anggap PAS musuh nombor satu mereka kerana mereka faham betul sifir politik bahawa PAS lah yang boleh menggugat kedudukan Umno.

Mereka juga faham sifir politiknya DAP tidak boleh menggugat kedudukan Umno. Mereka tahu impak maksimum DAP tidak mampu menggugat Umno dan pemimpin rasuah yang nazak ini.

Yang boleh memberi kesan kepada mereka adalah PAS. Maka seluruh perancangan adalah untuk meneutralkan dan melemahkan PAS bukan DAP.

Golongan perasuah ini akan menyerang saya macam-macam selepas ini. Saya sudah lali dengan serangan upahan. Saya tiada kepentingan politik.

Tumpuan saya selepas meninggalkan kerajaan adalah melalui Hisbah yang menerbitkan kitab-kitab klasik tentang rasuah dalam bahasa Malaysia. Sudah dua kitab klasik diterbitkan.

Insya-Allah, Ramadan ini dua lagi buku dari sudut Islam, rasuah dan kleptokrasi khusus kes 1MDB akan diterbitkan.

Baru-baru ini atas desakan ramai untuk saya kembali ke politik. Saya hanya setuju sebuah parti khusus isu rasuah sahaja. Ia bukan untuk mendapat jawatan dan kuasa tetapi fokus melawan orang berkuasa yang salahguna kuasa.

Saya tidak berminat untuk sertai pilihan raya melainkan sekiranya diminta di Pekan bukan kerana pertimbangan politik tetapi kewajiban moral saya melawan pemimpin paling rasuah dan tidak langsung punya rasa tanggungjawab ini.

Beliau melakukan apa sahaja bukan sahaja untuk menyelamatkan dirinya tetapi melindungi mereka yang lain. Jho Low sehungga hari ini lepas bebas.

Begitu juga beberapa penama lain yang telah dinyatakan secara jelas termasuk laporan PAC sendiri melakukan kesalahan terus lepas bebas.Yang mencuri ribu ringgit digari ditahan reman, yang mencuri beribu juta ringgit lepas bebas.

Demi Allah dan Rasul saya akan lawan mereka habis-habisan.

Saya lakukan ini semua kerana saya amat yakin dengan hadis Rasulullah SAW yang pertama kali saya baca semasa saya dipenjara di bawah OSA dari sebuah buku karangan ulama tersohor nusantara Prof Hamka yang menampilkan hadis Rasulullah SAW riwayat Tarmidzi 'Setiap umat ada cabarannya dan cabaran bagi umatku adalah harta'.

Almarhum Buya Hamka menampilkan hadis ini dimuka depan buku beliau bertajuk 'Tuan Direktur' yang berkisar kisah rasuah.

PAS parti besar. Sejarahnya panjang. Tokoh besar pernah lahir malah tokoh paling bersih semasa berkuasa Tuan Guru Nik Aziz lahir dari parti ini.

Jangan biarkan nama baik ini di lipatan sejarah pernah bersekongkol dengan sebuah parti diwaktu ia dipimpin oleh pemimpin yang terpalit dengan rasuah (khususnya kleptokrasi) yang paling besar dalam sejarah.

Akhirul kalam. Saya mohon maaf sekiranya ada ayat yang tidak wajar dalam warkah ini. Tentunya isi dan susunannya tidak sempurna tetapi percaya lah niat dan kebenarannya tidak cacat sedikitpun dan saya bertanggungjawab pada setiap patah perkataannya sehingga akhir perjuangan saya melawan pemimpin yang rasuah dan sehingga ke akhir hayat saya sendiri.

Semoga Allah SWT memberi hidayahNya kepada kita semua untuk tidak termasuk golongan orang yang berdosa seperti firmannya di dalam ayat ini.

(فَلَوْلَا كَانَ مِنَ الْقُرُونِ مِنْ قَبْلِكُمْ أُولُو بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنِ الْفَسَادِ فِي الْأَرْضِ إِلَّا قَلِيلًا مِمَّنْ أَنْجَيْنَا مِنْهُمْ ۗ وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَا أُتْرِفُوا فِيهِ وَكَانُوا مُجْرِمِينَ)
[Surat Hud 116]

Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang!

Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa
.
Sekian. Wassalam.

Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor adalah bekas Senator Umno dan kini bersama NGO anti rasuah Hisbah Centre For Reform (Hisbah) yang dipengerusikannya.

Tiada ulasan: