HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Mei 2017

Syarikat konsesi tol hampir muflis akan dibantu, kata menteri

 
Fadillah berkata 1 daripada 2 syarikat itu memohon bantuan kerajaan dan Kementerian Kerja Raya membantu menjadualkan semula pinjaman mereka.


fadillah_tol_600

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya akan membantu satu daripada 2 syarikat konsesi tol yang menghadapi kemungkinan muflis untuk menstruktur semula pinjaman selepas memohon bantuan daripada kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada masa ini kementerian sedang memantau kedua-dua syarikat berkenaan yang menghadapi kekangan kewangan.

“Buat masa ini, hanya satu syarikat memohon bantuan daripada kerajaan tetapi kita tidak membantu daripada segi kewangan tetapi membantu untuk menjadualkan semula pinjaman,” kata Fadillah kepada media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Projek Kecekapan Sektor Pembinaan (BSEEP) 2017, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

“Jika kerajaan memutuskan untuk campurtangan, maka barulah kita akan merancang tindakan seterusnya,” kata Fadillah yang tidak memberitahu identiti kedua-dua syarikat tersebut.

Sebelum ini, beliau dipetik sebagai berkata dalam satu laporan di mana syarikat konsesi tol yang lain sedang dalam proses penyusunan semula struktur kewangannya bagi mengelakkan daripada menghadapi masalah kewangan pada masa depan.

Sementara itu, Fadillah dalam ucaptamanya pada persidangan BSEEP itu berkata beliau berharap semua bangunan kerajaan akan menjadi cekap tenaga yang boleh bagi mengurangkan bil elektrik dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Persidangan sehari itu diadakan untuk meningkatkan pemahaman yang lebih baik di kalangan syarikat sektor awam dan swasta bagi mengurangkan kesan pelepasan rumah hijau dalam sektor pembinaan di negara ini.

Persidangan yang pertama diadakan di KL bertemakan “Gearing Up towards Zero Energy Buildings” bertindak sebagai medium bagi BSEEP untuk menampilkan kejayaan dalam menggalakkan kecekapan tenaga dalam sektor pembinaan.

BSEEP ialah projek nasional di bawah pengurusan Cawangan Alam Sekitar dan Kecekapan Tenaga (CASKT), Kementerian Kerja Raya dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP).

Satu daripada kejayaan utama BSEEP ialah pelaksanaan inisiatif Kontrak Pencapaian Tenaga atau Energy Performance Contract (EPC) iaitu langkah penjimatan tenaga menerusi program pembangunan kecekapan tenaga yang RM2 juta disumbangkan daripada dana UNDP manakala RM10 juta lagi diperuntukkan kerajaan.

Tiada ulasan: