HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Mei 2017

Tak mustahil Anwar jadi PM ke-7

Syed Ibrahim Syed Noh


ULASAN I Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12 berakhir pada Ahad 21 Mei 2017 dengan nada penuh semangat mengangkat agenda reformasi, selari dengan temanya “Membawa Harapan, Membina Malaysia Adil dan Saksama”.

Tahniah kepada perwakilan yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan amat baik!

Di sebalik pelbagai insiden yang boleh memesongkan parti daripada agenda perjuangannya namun analisis akhir mengisyaratkan parti tetap utuh di atas landasan asalnya iaitu berjuang di atas nilai-nilai demokrasi, hak asasi manusia dengan berteraskan prinsip keadilan, kebenaran dan kesaksamaan.

Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, parti memikul harapan rakyat dan mendapat sokongan yang padu kerana iltizam perjuangan demi menegakkan keadilan untuk semua; untuk mendaulatkan ketuanan rakyat melalui proses demokrasi.

Itulah yang diperjuangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tercetusnya reformasi. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Anwar mencetuskan kesan terbesar anjakan perjuangan pengislahan atau perubahan kepada negara yang lebih baik, tanpa menafikan usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang lain.

Pengorbanan Anwar, PKR

Dalam ucapan dasarnya, Wan Azizah menyifatkan pengorbanan yang terpaksa diambil telah membuahkan hasil.


Menurutnya, walaupun berdepan dengan kekejaman, kezaliman dan kekerasan pemerintah selain keperitan hidup selama hampir dua dekad lamanya namun PKR berjaya memecahkan tembok ketakutan dan perkauman serta membawa takrif agama yang luas dan syumul iaitu agama sebagai rahmat ke seluruh alam, rahmatan lil ‘alamin.

Beliau lantas merakamkan penghargaan atas pengorbanan yang dibuat oleh pelbagai pihak.
Antaranya ialah pengamal media terutamanya media sosial, otai-otai reformis dan pejuang-pejuang serta aktivis PKR dan sudah tentunya Anwar yang meringkuk di Penjara Sungai Buloh akibat pemangsaan politik.

Malah di penghujung ucapan Dr Wan Azizah, beliau mengatakan, “…saya selalu berpegang kepada satu kepercayaan, dan satu keyakinan bahawa Saudara Anwar ke penjara kerana membela rakyat, maka rakyatlah yang akan membela dan membebaskan Anwar dengan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).”

Lantaran itu, terdapat suatu kelainan ‘aura’ dalam kongres kali ini. Sementara ucapan-ucapan perbahasan atau penggulungan turut menyentuh soal kepentingan menggilap idealisme perjuangan, mengangkat agenda rakyat serta membuat persiapan untuk PRU14, namun suatu yang jelas terserlah pada awal dan akhir kongres ialah keyakinan untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia yang ke-7.

Sepanduk 'Anwar PM ke-7'

Sepanduk 'Anwar PM ke-7' dijulang oleh semua perwakilan pada detik-detik penting. Apakah ia mustahil dan tidak logik?

Ia bukan suatu yang mustahil. Ia bukan bertujuan mencetuskan polemik. Ia bukan bertujuan menyinggung perasaan. Ia bukan bertujuan syok sendiri. Ia adalah hak parti dalam Kongresnya sendiri.

Agenda pembelaan rakyat, permuafakatan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan persiapan pilihan raya tetap menjadi agenda utama.
Namun ia memerlukan penjelasan dan pencerahan.

Mengapa dan bagaimana Anwar boleh jadi PM ke-7?

Sebelum menjawab persoalan itu, untuk tujuan keadilan, saya juga ingin kemukakan beberapa pandangan balas terhadap cadangan Anwar sebagai PM ke-7.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad hanya menjawab dengan mengatakan ia terpulang kepada rakyat sama ada mahu melantik Anwar sebagai PM ke-7 atau sebaliknya manakala Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengatakan perkara itu akan dibincangkan dalam HARAPAN sebelum sebarang keputusan dibuat.

Namun beliau bersetuju sebaik-baiknya calon PM diumumkan sebelum pilihan raya.

Sementara itu, mantan menteri di jabatan perdana menteri yang kini bersama DAP, Datuk Zaid Ibrahim pula berkata tindakan PKR untuk mahukan Anwar sebagai PM itu mudah difahami kerana PKR adalah parti Anwar namun beliau menyelar kenaikan sepanduk “Anwar PM ke-7” kerana disifatkannya angkuh dan tidak menghormati kehadiran sekutu terbaru HARAPAN daripada BERSATU.

Selain itu, ada yang lebih kritikal (dan mungkin pragmatik) pula menyoal bagaimana seorang yang dipenjarakan dan hilang kelayakan daripada bertanding dalam pilihan raya untuk bertahun lamanya selepas hukuman penjara boleh menjadi PM?

Berlatarkan pandangan balas tadi, sekarang kita kembali kepada persoalan mengapa dan bagaimana Anwar boleh menjadi PM ke-7. Jawapannya terkandung dalam ucapan penggulungan oleh beberapa pimpinan tertinggi PKR, khususnya oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Ucapan Rafizi Ramli

Dalam ucapan penggulungannya, Rafizi menegaskan bahawa PKR ialah parti reformasi iaitu parti yang sentiasa bertanggungjawab mendahului pendapat umum atau “conventional wisdom” demi menyediakan masyarakat kepada idea-idea yang masih belum diterima rakyat ketika itu sedangkan ia anjakan perubahan yang baik.

Dalam banyak masa, PKR dilihat menongkah arus pendapat umum namun, alhamdulillah ia masih berdiri gagah.

Rafizi mengemukakan beberapa contoh. Pertama, katanya, sejak ditubuhkan lagi, PKR dianggap parti pelbagai bangsa yang tidak akan kekal lama.

Malah selepas PRU 2004, dengan hanya satu kerusi Parlimen, PKR diejek sebagai parti nyamuk yang akan terkubur. Namun selepas 18 tahun, PKR ialah satu-satunya parti yang diterima semua bangsa dan ada wakil rakyat di setiap negeri dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak.

Kedua, apabila Anwar mengatakan pembangkang ada peluang merampas beberapa buah negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN dalam PRU 2008, semua memperlekehkan keyakinan Anwar dan PKR itu.

Tetapi dalam PRU 2008, itulah yang berlaku dan PKR berjaya mentadbir Selangor sejak 2008.

Ketiga, menurut Rafizi, apabila Anwar menubuhkan Pakatan Rakyat selepas PRU 2008, ramai pula yang tidak yakin ia boleh kekal lama. Kata mereka ini gabungan "tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain".

Tetapi Pakatan Rakyat jugalah yang mencipta sejarah sebagai pakatan pembangkang pertama yang memenangi undi popular menewaskan BN dalam PRU.

Keempat, ketika Presiden PKR menubuhkan HARAPAN tanpa penyertaan PAS, pendapat umum ketika itu mengatakan pakatan pembangkang tanpa PAS tidak mempunyai harapan.

Tetapi hari ini, seluruh Malaysia meyakini bahawa pakatan pembangkang yang berpotensi untuk mengalahkan BN adalah HARAPAN, bukannya Gagasan Sejahtera.

“Sebab itu persoalan siapa calon PM timbul jika Harapan menang, kerana keyakinan menang itu hanya ada kepada Harapan”, jelas Rafizi.

Persoalan siapa PM

Menurutnya, persoalan siapa PM adalah jelas. Perdana Menteri setelah HARAPAN menang ialah Anwar. Sudah tentu pendapat umum akan berkata "PKR syok sendiri" dan "PKR gila" kerana Anwar masih dipenjara”, tambah Rafizi.

Tetapi pada pendapatnya, terdapat kaedah pengampunan diRaja yang boleh digunakan untuk membolehkan Anwar dibebaskan dan bertanding segera dalam pilihan raya kecil.

“Kaedah ini boleh digunakan dalam kes-kes ehsan, apatah lagi dalam kes Anwar, kes fitnah oleh musuh politik beliau”, ujar Rafizi.

Katanya, walaupun pendapat umum masih tidak dapat menerimanya, namun apabila HARAPAN menang PRU14, rakan-rakan daripada DAP dan AMANAH bersetuju agar Wan Azizah menjadi PM interim (sementara) yang akan mengusahakan pembebasan Anwar.

“Saya yakin dalam masa sebulan dari tarikh kemenangan PRU14, Anwar akan dibebaskan dan sebulan kemudian bertanding dalam pilihanraya kecil dan seterusnya angkat sumpah menjadi perdana menteri,” jelas Rafizi.

Pada akhirnya, menurut Rafizi, apa yang dihuraikannya itu mungkin tidak mudah dan bercanggah dengan pendapat umum dan lumrah biasa, namun selagi PKR kekal sebagai parti reformasi, muafakat rakan-rakan dalam HARAPAN kukuh dan rakyat menerima baik perjuangannya maka tidak mustahil Anwar menjadi PM yang ke-7.

SYED IBRAHIM SYED NOH adalah ketua penerangan PKR.

Tiada ulasan: