HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Mei 2017

Tanpa UMNO tak mungkin PAS bawa RUU 355 ke Parlimen – Penasihat Agama PM

THE MALAYSIAN TIMES



MACHANG: Pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU 355 di Dewan Rakyat pada April lepas adalah hasil kesepakatan dan perpaduan antara UMNO dan PAS, kata Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdullah Md Zin.

Beliau berkata walaupun RUU tersebut dibentangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ia tidak bermakna anggota PAS boleh mendakwa kejayaan itu hanya atas usaha parti itu sahaja.

“Tanpa ada sokongan yang padu dari pemimpin UMNO tidak mungkin PAS boleh membawanya (RUU 355) ke Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendekatan Wasatiyyah Warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan di sini, hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas saranan kalangan pemimpin PAS melalui RUU 355 itu di Parlimen.

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata perpaduan merupakan perkara utama bagi sesebuah negara kerana tanpanya ia boleh mengancam keselamatan.

Katanya pembentangan RUU 355 itu hanya bagi memperkasakan mahkamah syariah yang sedia ada dan hanya melibatkan orang Islam.

“Masa saya jadi menteri dulu saya telah membentangkan empat rang undang-undang antaranya pentadbiran keluarga Islam, hanya yang berkaitan dengan jenayah dalam keluarga Islam saja yang tidak sempat saya bawa ke Parlimen,” katanya.–Bernama

Tiada ulasan: