HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Mei 2017

Transformasi PLKN sekadar syok sendiri

Berita Daily Staff

Tidakkah PLKN ini adalah antara contoh pembaziran kepada negara setiap tahun, Sedangkan bajet pendidikan yang utama saban tahun telah dipotong

KUALA LUMPUR: Pengerusi Biro Integrasi Nasional PKR, Dr Edmund Santhara berpendapat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini kononnya telah ditransformasi dengan program latihan berwajah baharu oleh kerajaan, PLKN 2.0 hanya syok sendiri.

“Projek yang menelan belanja ratusan juta ringgit ini tidak sepatutnya disia-siakan begitu sahaja. Apabila kita melihat pada program lepas yang dilihat gagal, sepatutnya kerajaan mengenalpasti setiap kelemahan dan masalah,”  katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah beliau, kerajaan seharusnya juga mengambilkira pandangan daripada Ahli Parlimen termasuk pembangkang dan orang awam untuk sebarang perubahan atau penambahbaikan dan bukannya syok ikut acuan sendiri.

Edmund turut menyentuh kenyataan pada 17 Mac 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman berkata kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM240 juta setahun selepas menarik semula tajaan 744 biasiswa pelajar Malaysia ke luar negara.

“Tidakkah PLKN ini adalah antara contoh pembaziran kepada negara setiap tahun? Sedangkan bajet pendidikan yang utama saban tahun telah dipotong?” soal beliau.

Beliau turut menyoal adakah pelaksanaan program ini demi kepentingan serta kesinambungan kontraktor atau pembekal-pembekal terpilih mahupun pelaksanaan agenda politik Umno BN sahaja.

Malah terdapat juga cadangan daripada bekas Timbalan Gabenor Negara, Arshad Ayub yang mengesyorkan supaya golongan belia turut diajar untuk menoreh getah, menuai kelapa sawit dan menanam padi, di mana sektor ini banyak didominasi oleh pekerja asing.

“Kerajaan sepatutnya fokus kepada rukun negara bagi mencapai matlamat perpaduan nasional yang akhirnya memupuk sikap rakyat yang baik. Malah, modul-modul yang diterapkan kepada pelatih tidak begitu efisyen dan relevan,” katanya.

“Perkara seumpama ini boleh diperbanyakkan aktiviti sedari sekolah lagi bagi mengeratkan perpaduan antara kaum. Apa yang boleh dilakukan kini, cari penyelesaian secara bersama kepada semua masalah yang timbul dan cari jalan terbaik untuk diselesaikan,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan: