HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Mei 2017

Tun M, mana pergi baki duit cash sumbangan pilihanraya?

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Reaksi Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz ketika berucap pada Majlis Bicara Tokoh "Isu Semasa : Apa Kata Chief?" di Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC), Ampang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Ada sebab kenapa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz masih menaruh harapan untuk berdebat dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ini kerana beliau mahu menyoal bekas perdana menteri itu mengenai beberapa perkara khususnya mengenai dana politik yang dikutipnya semasa menjadi perdana menteri.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu mendakwa Mahathir sepanjang mengendalikan sebanyak lima pilihan raya sebelum ini mengutip dana politik secara tunai daripada penyumbang.

Bagaimanapun baki dana politik tersebut sehingga hari ini tidak tahu ke mana ia pergi.

“Tun (Mahathir) sudah belanja untuk lima kali pilihan raya umum, baki duit itu ke mana pergi Tun?
Ke mana pergi duit itu?

“Sebab itu saya nak ada perbahasan dengan dia, sebab saya nak tanya dia jangan duduk menipu, Presiden Barisan Nasional kena cari duit, Datuk Najib (Datuk Seri Najib Razak) cari duit datang daripada personal account tak salah yang salah kalau dia minta ambil duit cash, kita tak tahu ke mana duit itu pergi, yang kita tahu anak dia semua kaya. Itu sahaja,” katanya semasa sesi Kepohci bersama Chief anjuran Kelab UMNO Luar Negara malam tadi.

Jelas Nazri, sekiranya terdapat baki yang masih disimpan oleh Mahathir mungkin ia boleh dipulangkan balik kepada parti.

“Sebab itu saya nak adakan perbahasan, saya nak tanya dia kutip berapa sahaja, kalau ada lebih (baki) mungkin boleh beri saya balik,” katanya.

Menurut Nazri, sepanjang pengalamannya menjadi ahli parlimen dibawah kepimpinan Mahathir yang mentadbir negara selama 22 tahun itu, Mahathir mengambil wang secara tunai daripada penyumbang dan jumlah keseluruhan yang dikutip pun tidak diketahui.

“Mana lebih baik, masuk dalam akaun ke ambil cash? Mahathir ambil cash, sebab waktu dia presiden UMNO, tahun 1995 saya bertanding pilihan raya saya terima RM10,000, saya terima RM200,000 maknanya Mahathir dulu pun kutip duit juga.

“Saya tidak marah dia kutip duit tapi jangan lah aniaya Datuk Najib ini, dia buat kerja betul dia tak ambil cash. Saya sampai sekarang semua tidak tahu berapa Mahathir kutip untuk menghadapi lima pilihan raya, itu sebabnya saya nak ada perbahasan ini kerana saya nak ambil peluang itu nak tanya berapa dia sudah kutip?,” soalnya.

Nazri kemudian juga mempertahankan Najib tidak melakukan sebarang kesalahan apabila menerima wang daripada penyumbang yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

“Sebenarnya ia tidak salah, di negara kita ini saya nak beritahu meminta sumbangan tidak merupakan kesalahan dibawah undang-undang negara kita ini, saya menteri undang-undang sembilan tahun saya tahu, tidak ada sebarang kesalahan minta sumbangan,” katanya.

Jelasnya lagi, bekas dua pemimpi UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal merupakan penerima dana politik terbesar daripada parti memandangkan jumlah cawangan UMNO yang terdapat di kawasan parlimen mereka.

“Jadi Muhyiddin pun terima, Shafie pun terima duit ini, Shafie punya cawangan lagi banyak dekat 400 lebih cawangan dia dan darab dengan RM5,000, dia dapat lebih daripada saya.

“Muhyiddin pun dapat lebih dari saya, Muhyiddin dapat saya ingat dia punya cawangan dekat 100 lebih dan darab dengan RM5,000, dia dapat lebih daripada saya tapi yang saya hairan waktu itu Muhyiddin dan Shafie tak tanya Datuk Najib pun mana dapat duit itu, tak tanya pun, bila terima ambil sahaja,” katanya.

Terdahulu, debat antara Nazri dan Mahathir terpaksa dibatalkan dua kali selepas pihak polis memberi alasan faktor keselamatan untuk tidak membenarkan ia diadakan.

Nazri sebelum ini menyahut cabaran Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk berdebat mengenai perkara yang memberi kesan kepada negara. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: