HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Mei 2017

Tun M tak angkat plakad bukan sebab tak sokong - Xavier

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tidak timbul isu apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memegang plakad ‘Anwar PM ke-7’, demikian kata Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar.
 
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Dr Mahathir yang tidak turut sama mengangkat plakad, yang dilihat ramai pihak sebagai satu signal mantan Perdana Menteri itu tidak bersetuju Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
“Taklah, saya rasa bukan isu sokong (atau) tak sokong, Tun kata dia ambil gambar pada hari itu,” ulasnya ringkas kepada Antarapos hari ini.
 
Pada Kongres Nasional PKR, Ahad lalu, gelagat Dr Mahathir, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalan presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencuri tumpuan ramai apabila tidak turut serta mengangkat plakad 'Anwar PM ke-7'.
 
Dr Mahathir sebaliknya dilihat memegang telefon pintarnya dan merakam perwakilan yang mengangkat plakad, manakala pula Muhyiddin sekadar bertepuk tangan.
 
Sementara itu Mukhriz yang ditemui pemberita kemudiannya berkata, nama calon perdana menteri ke-7 akan dibawa ke dalam perbincangan Pakatan Harapan (PH) pada sesi akan datang.
 
Mengulas lanjut, Xavier menegaskan soal penentuan calon Perdana Menteri yang bakal mewakili gabungan pembangkang  akan diputuskan semua parti komponen PH kelak.
 
“Saya rasa saya biarkan kepada Pakatan Harapan untuk buat keputusan siapa nak jadi Perdana Menteri.
 
“Pada pendapat saya dari mula ialah kita tunggu lepas PRU tengok parti mana yang ada kerusi lebih, lepas itu kita boleh buat rundingan, pada waktu itu kita boleh tentukan siapa jadi Perdana Menteri," ulasnya.
 
Sehingga kini, PH masih belum menamakan calon yang akan menduduki jawatan tertinggi itu walaupun acap kali didesak oleh pelbagai pihak.
 
PKR bagaimanapun konsisten untuk mengangkat Ketua Umum mereka yang sedang menjalani hukuman penjara sebagai calon Perdana Menteri.
 
 

Tiada ulasan: