HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Mei 2017

Tun Mahathir Mohamad dan hipnosis politiknya

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Adakah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mengaku kalah bahawa baik partinya mahu pembangkang lain tidak akan berhasil menumbangkan Umno-Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke-14 kelak?
 
Jika benar “pengakuan” yang dibuat dalam laman Facebooknya maka sudah tentu ini suatu perkembangan baru yang agak janggal bagi veteran politik yang pernah memimpin Malaysia lebih 22 tahun.
 
Yang diingat pemerhati politik ialah, Mahathir seorang pemimpin tegas dan tidak mungkin mahu mengaku kalah. Jika beliau menetapkan sesuatu sasaran, akan diperjuangkannya sampai berjaya. 
 
Lihatlah betapa beliau menggerakkan Dasar Pandang Ke Timur sebagai mata pedang melaksanakan kempen “Buy British Last” sebaik sahaja menduduki kerusi Perdana Menteri pada 1981.
 
Kegesitan politiknya, melunakkan Jepun dan Korea Selatan untuk membuka pintu niaga dengan Malaysia seluas-luasnya hingga mampu mencabar untuk mengambil alih tempat Britain dan negara-negara Eropahnya.
 
Tingkah itu menyerlahkan bagaimana Mahathir sebagai seorang geostrategis yang menguasai dinamika kuasa di peringkat antarabangsa dan cerdik pula memupuk persahabatan untuk mengimbangi pengaruh kelompok lain.
 
PPBM mahu jatuhkan Najib?
 
Namun di senja kerjaya politiknya demi “memperbetulkan” tatakrama politik di Malaysia hari ini beliau menubuhkan wadah khas, Parti Pribumi Malaysia Bersatu (PPBM) untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan partinya, Umno.
 
Anehnya sebelum memimpin PPBM masuk gelanggang PRU 14, Mahathir sudah membuat ramalan bahawa tiada parti politik mampu menumbangkan Umno-BN. Ke mana hilang taring politik Mahathir? 
 
Sebenarnya, Mahathir berkata demikian untuk melonjakkan harapan dan peluang pembangkang. Beliau mahu supaya jika kalah sekalipun dalam PRU 14, beliau dan pembangkang lain sudah ada alasan untuk menjawab mengapa kalah.
 
Mahathir secara licik menyelitkan “prasyarat” bagi menjamin kemenangan pembangkang khususnya empat parti – PKR, DAP, Parti Amanah dan PPBM sendiri untuk menumbangkan UMNO-BN.
 
Katanya, kemenangan akan dicapai jika semua parti pembangkang bersatu. Lantas itu partinya mengharapkan penyertaan PAS di dalam Pakatan Harapan (PH) untuk sama-sama menumbangkan BN.
 
“PPBM bersungguh-sungguh nak kerjasama dengan PAS, berkali-kali kita jumpa wakilnya dan mereka pada mulanya bersetuju, namun bila berjumpa Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tidak bersetuju pula.

“Sehinggakan kita lewatkan penubuhan Pakatan Harapan kerana nak dapatkan persetujuan PAS, tetapi PAS lebih utamakan hubungan rapat dengan Umno.
 
“Dan akhirnya (usaha) kita ditamatkan sendiri oleh PAS, sedangkan kita masih terbuka kerana kalau kita tidak bekerjasama dengan parti pembangkang lain tidak mungkin kita menang,” katanya.
 
Dr Mahathir guna alasan PAS 
 
Di sini kehebatan Mahathir terserlah. Beliau sebenarnya melancarkan strategi “serampang tiga mata”. Pertama, beliau sudah dapat menjadikan PAS sebagai alasan jika PH benar-benar gagal menyaingi Umno-BN.
 
Langkah ini bertujuan memupuk persepsi mengenai pilihan politik Hadi. Mahathir mencongak bahawa ini boleh mencetuskan perbalahan dan pecah belah dalam PAS. 
 
Secara langsung ia memberi gambaran PAS “curang” pada perjuangan pembangkang dan mahu berganding dengan Umno. Mahathir berharap ini akan menggelosorkan jatidiri dan maruah PAS di mata pengundi. 
 
Kedua, Mahathir cuba menggoncang keyakinan ahli PAS terhadap presiden mereka Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang mahu digambarkannya mesra Umno dan “mengkhianati” pembangkang. 
 
Ketiganya, dengan menyindir rundingan PPBM dengan PAS mulai dingin apabila Haji Hadi terbabit dalam perbincangan nampaknya mahu menanam mesej bahawa Haji Hadi sudahpun membuat pilihan untuk bekerjasama dengan Umno.
 
Mahathir mencongak “serangan” ini boleh membentuk persepsi mengenai pilihan politik Hadi. Strategi Mahathir ini menepati naluri politik “jika kita gagal tidak mengapa, asalkan PAS tidak boleh berjaya”.
 
Rundingan PPBM dengan PAS menemui titik noktah selepas parti Mahathir itu secara rasmi menjadi komponen PH Mac lalu.
 
Bagaimanapun Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan bahawa pendirian PAS tegas – ia boleh bekerjasama dengan parti mana sekalipun dengan syarat parti berkenaan tidak ada hubungan dengan seteru politiknya iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
 
Di sini kekuatan politik Mahathir. Beliau sanggup “mengaku kalah” tetapi sebenarnya mahu “merampas kemenangan” lebih besar apabila saingannya mulai ‘besar kepala’ dan leka dengan hipnosis politiknya.
 
Dalam pada “lembut tengok” mengatakan PH tidak boleh menundukkan Umno-BN, Mahathir sebenarnya melancarkan serangan terhadap wibawa PAS di mata pengundi. 
 
Jika berjaya, keberangkalian sebarang kerjasama PAS dengan Umno tentu tidak akan menjadi dan Mahathir akan menang lagi.
 
 

Tiada ulasan: