HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Mei 2017

Ujian perisian komputer mampu jana ekonomi negara

Bernama

Malaysia bakal menjadi sebuah negara yang menjadi destinasi pilihan warga antarabangsa untuk menjalankan ujian tersebut

KUANTAN: Ujian dan pembangunan perisian komputer memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi negara apabila Malaysia menjadi hab bagi program-program seperti itu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata ini kerana Malaysia bakal menjadi sebuah negara yang menjadi destinasi pilihan warga antarabangsa untuk menjalankan ujian tersebut.

“Dalam usaha kita menjadi sebuah negara maju dan berkembang dalam ekonomi, bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah ditonjolkan dalam Pelan Malaysia ke-11 kerana ia dilihat banyak menyumbang untuk mencapai hasrat itu selain membantu beberapa sektor lain.

“Salah satu skop berkaitan dengan ICT yang dilihat mampu menjana ekonomi negara ialah dengan menjadikan Malaysia sebagai hab ujian dan pembangunan perisian komputer.

“Program yang direalisasikan dengan kerjasama swasta dan kerajaan ini telah dimulakan sejak tahun 2009.
Lembaga Pengujian Perisian Malaysia telah diberi kepercayaan untuk merancang dan mewujudkan ekosistem ujian perisian bagi menjadikan negara ini destinasi pilihan antarabangsa untuk menggunakan khidmat ini,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam mesyuarat ISO/IEC/JTC1/SC7 berkaitan perisian dan sistem kejuruteraan komputer di sini malam tadi.

Hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Standards Malaysia, Fadilah Baharin, Setiausaha Bahagian Kanan Perancangan Strategik MOSTI, Dr Mohd Mokhtar Tahar dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Ishak Mokhtar.

Abu Bakar berkata setakat ini Malaysia berupaya untuk bersaing di peringkat global dengan mengikuti standard antarabangsa dalam amalan domestik dan beberapa aspek berkaitan yang penting.

Beliau berkata sebagai perancangan jangka panjang, pihak kementerian bercadang untuk menggalakkan penglibatan universiti tempatan dalam bidang ini agar para pelajar dan perisian kejuruteraan yang digunakan oleh mereka sentiasa relevan dengan dunia semasa.

Tiada ulasan: