HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Mei 2017

Usaha pertahan 31 kerusi BN berisiko tinggi bermula

Oleh Jahabar Sadiq
Usaha pertahan 31 kerusi BN berisiko tinggi bermula
BN mungkin hilang Putrajaya jika gagal mengekalkan 31 kerusi Parlimen berisiko tinggi kerana pembangkang yakin mereka dapat menawannya pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
BARISAN Nasional (BN) berdepan risiko kehilangan Putrajaya jika ia tidak dapat mengekalkan 31 kerusi Parlimen berisiko tinggi yang dimenangi dengan majoriti tipis pada PRU13, kerana pembangkang percaya mereka dapat menawannya dengan hanya sedikit peralihan undi.

Kawasan Parlimen berisiko tinggi itu termasuk Bagan Datoh, Padang Rengas, Teluk Intan, Jerai, Kuala Selangor, Titiwangsa, Bentong, Labis, Pasir Gudang dan Pulai – dimenangi pemimpin kanan BN yang juga tersenarai sebagai antara 128 kerusi boleh menang dalam ramalan BN pada PRU14. Terdapat juga hampir 60 kerusi DUN berdepan risiko sama.

The Malaysian Insight difahamkan pakar strategi BN sedang menganalisis dan mengkaji kaedah berkempen untuk terus menang di kerusi itu walaupun kemungkinan pertandingan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada parti pemerintah.

“Kami menang nipis dalam pertandingan satu lawan satu tetapi kami tidak mahu mengambil risiko walaupun jika berlaku pertandingan tiga penjuru,” kata pakar strategi BN kepada The Malaysian Insight.

“Sasarannya ialah mereka di atas pagar. Kami perlu dapatkan undi mereka,” katanya.

Beliau berkata sesetengah parti BN akan bertukar kerusi bagi memastikan kemenangan dan pekerja parti sudah dimaklumkan untuk mendapatkan ramai pengundi keluar mengundi bila pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa yang pakar dalam menganalisis data dan komunikasi strategi juga diminta merangka strategi untuk BN, kata sumber.

Minggu lalu, sebuah syarikat memberi taklimat kepada beberapa pemimpin BN yang juga ahli Parlimen di kerusi berisiko tinggi dan menawarkan mereka latihan bagi komunikasi lebih baik.

Antara kaedah yang sedang dipertimbangkan ialah video yang dibuat bersesuaian untuk disampaikan di kawasan pilihan raya masing-masing.

Seorang pegawai rasmi BN yang diberi taklimat mengenai perkara itu berkata: “Syarikat itu berpangkalan di London dan berkata ia boleh menyampaikan mesej di peringkat kotak undi kerana mereka ada data dan kemampuan berbuat demikian.”

“Kagum lihat apa yang mereka boleh buat,” katanya, menambah syarikat itu diberi kontrak untuk menerbitkan video untuk digunakan pada PRU akan datang, yang perlu dibuat sebelum Ogos 2018.

Seorang lagi pakar strategi BN berkata Perdana Menteri Najib Razak yang juga pengerusi gabungan itu menegaskan semua 31 kerusi Parlimen itu perlu dimenangi, tidak kira apa juga berlaku.

“Kami kalah majoriti Parlimen dua pertiga sebanyak dua kali dan undi popular sekali. Kami tidak boleh kalah lagi, sebab itu kami pertimbangkan semua strategi dan kaedah untuk menyampaikan mesej ke seluruh negara bagi meyakinkan pengundi,” katanya.

Gabungan rapuh parti pembangkang di Malaysia, Pakatan Harapan (PH) juga mengatur strategi untuk kerusi berisiko tinggi BN itu, apatah lagi kini parti serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia sudah menyertai mereka.

Difahamkan kumpulan aktivis Hindu, Hindraf yang mendakwa jumlah kaum India yang minoriti lebih tinggi daripada majoriti nipis BN di 31 kerusi itu, mahu menyertai PH dan bertanding di kerusi Cameron Highlands dan Segamat yang dimenangi MIC, parti komponen dalam BN.

Bersatu dan Amanah, parti serpihan PAS dijangka bertanding di kebanyakan kerusi itu walaupun belum ada lagi pengagihan muktamad diputuskan

Tiada ulasan: