HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Mei 2017

Wala', Wasatiyyah, Tabayyun; Konsep tiga serangkai jamin kelangsungan negara bangsa

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Gabungan prinsip tiga serangkai iaitu Wala'-Wasatiyyah-Tabayyun jika diamalkan akan menjelmakan satu kitaran yang sempurna antara pemimpin dan yang dipimpin demi kelangsungan sebuah negara bangsa yang mendambakan kemajuan serta kejayaan hakiki menurut tafsiran agama Islam.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Wala yang membawa maksud nilai-nilai cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, memberi taat dan bai ah,yang wajib diberikan kepada seseorang pemimpin yang sah dan institusi kepemimpinan yang dijunjung itu.
 
"Manakala tuntutan terhadap Wala dan taat setia kepada kepimpinan kerajaan, dalam perspektif Malaysia sejak lebih enam dekad telah diimbangi pula dengan amalan Wasatiyyah, katanya ketika berucap pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 'Fiqg Wala' dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara malam tadi.
 
"Di Malaysia ini, kita cukup berimbang, bersederhana, adil lagi saksama dan tidak bersifat diktator melampau sehingga mana timbul keterlaluan serta ketaasuban membuta tuli, yang boleh membawa kepada fahaman atau ideologi ekstrem serta melampau," jelasnya.
 
Beliau berkata di beberapa pelosok dunia, orang Islam terjerumus ke kancah salah tafsirnya konsep Jihad sebagaimana ancaman berbahaya IS dan Daesh, sehingga sanggup bertindak di luar kepompong syura atau demokrasi, yakni menggulingkan kerajaan yang sah lagi dipilih oleh rakyat.
 
"Sebab itulah kita tidak mahu rakyat negara ini tanpa dibimbing dengan pegangan Wala dan prinsip Wasatiyyah seperti yang digariskan oleh Islam, tersasar atau terpesong menjadi golongan yang terlalu longgar serta terlalu liberal, sampaikan sanggup mengamalkan budaya Machiavelli," katanya.
 
Perdana menteri berkata sebagai pemimpin dan ketua kerajaan, beliau terbuka kepada pandangan serta menerima teguran yang membina.
 
"Namun, sebarang kritikan atau teguran itu sama sekali tidak wajar disulami dengan fitnah, cacian atau tohmahan jahat yang boleh menjatuhkan aib dan bertujuan untuk merosakkan nama baik pemimpin," katanya.
 
Ini, katanya, sejajar dengan konsep tabayyun iaitu bermaksud menyelidiki dahulu sesuatu berita dengan teliti, sebelum mempercayai dan membuat keputusan untuk menyebarkannya.
 
"Apabila setiap seorang daripada kita memahami sedalam-dalamnya prinsip tiga serangkai iaitu Wala's-Wasatiyyah-Tabayyun, biar apapun cabaran dan dugaan yang mendatang, sebagai ummah kita pasti akan terus teguh berdiri mencapai tahap ummah par excellence, atau Khayra Ummah yang disegani oleh kawan dan lawan," katanya.
 
Perdana Menteri berkata Wala' wajib diberikan oleh ahli-ahli parti dalam sesuatu organisasi atau dalam perspektif lebih luas, rakyat Malaysia keseluruhannya kepada kerajaan kerana segala usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh pentadbiran negara adalah demi kepentingan dan mendahulukan rakyat.
 
"Ertinya jauh sekali untuk kerajaan seperti Malaysia bertindak zalim atau apa-apa yang memudaratkan rakyat dan negara, katanya.
 
Najib berkata kerajaan yang ada hari ini saban hari menyeru kepada yang maaruf, sekaligus berusaha mencegah yang mungkar.
 
"Justeru para ulama berpendapat, dalam situasi Malaysia hari ini, Wala adalah sampai kepada tahap wajib ...diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO. Apatah lagi, kerajaan sedia ada telah sejak dulu dipilih melalui jalan dan sistem demokrasi yang sah," kata Najib.
 
Beliau berkata begitu banyak yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan demi rakyat khususnya berhubung hal menangani isu kos sara hidup.
 
Antaranya, kerajaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Projek Perumahan Rakyat Termiskin, Rumah Mampu Milik, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, pengangkutan awam yang moden, kepada golongan pekerja terutamanya B40 dan M40, katanya.
 
Berlangsung selama tiga hari bermula semalam, seminar anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) yang dihadiri lebih 700 peserta tempatan dan antarabangsa itu menyaksikan tujuh sesi pembentangan melibatkan 16 kertas kerja, antaranya oleh Timbalan Syeikh Azhar, Mesir, Syeikh Prof Dr Abbas Syuman dan Prof Dr Abdul al-Naseer Abu Al-Basal dari Universiti Yarmouk Irbid, Jordan.
 
Seminar itu antara lain bertujuan menjelaskan tentang konsep Fiqh Wala dan Taat dari perspektif Islam dan realitinya dalam konteks global dan menyebarluaskan pengetahuan dan kefahaman mengenainya dalam kalangan masyarakat.
 
 

Tiada ulasan: