HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 Mei 2017

Zainul: Malaysia tidak pernah jadi negara sekular

Oleh Ahmad Farhain bin Mazlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pandangan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular adalah tersasar dan tidak berpaut kepada perlembagaan negara sendiri,  kata Presiden Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
 
Beliau berkata demikian apabila mengulas kenyataan ahli DAP Datuk Zaid Ibrahim bahawa pemimpin sebuah negara berbilang bangsa dan agama perlu mempertahankan institusi dan undang-undang sekular.
 
Zainul berkata perlembagaan Malaysia tidak sekular namun lebih bersifat hibrid atau unik kerana meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dengan peruntukan-peruntukan tertentu dan pada masa sama menetapkan kebebasan beragama untuk penganut bukan Islam. 
 
"Ada elemen-elemen tentang Islam dalam perlembagaan. Kalau sekular kesemua keistimewaan kepada agama (Islam) itu akan diketepikan di dalam perlembagaan," katanya. 
 
Beliau juga berkata pakar dan pensyarah undang-undang  Professor Datuk Shad Saleem Faruqi bersetuju Perlembagaan Malaysia berbentuk 'hibrid' atau unik dan bukan sekular.
 
“Shad Faruqi mengatakan  Perlembagaan Malaysia berbentuk 'hibrid' maknanya dia menafikan sekular tapi adalah hibrid yang bermakna unik," katanya lagi. 
 
Beliau berkata jika sejarah digunakan sebagai rujukan, maka usul oleh penjajah yang mahu peruntukan khusus untuk melindungi sifat sekular negara harus diteliti.
 
Zainul berkata syor Suruhanjaya Reid bahawa kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara tidak boleh menjejaskan sifat sekular negara, akhirnya ditolak. 
 
Beliau berkata persetujuan yang dicapai ialah Islam adalah agama Persekutuan di dalam perlembagaan serta hak kaum lain untuk mengamalkan agama mereka. 
 
Zainul berkata apa saja rujukan atau usul membabitkan terma sekular di dalam perlembagaan  ditolak, sekali gus membuktikan perlembagaan negara tidak bersifat sekular. 
 
Zaid membayangkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah gagal memberi jawapan sesuai dalam menolak hudud dalam wawancara dengan stesen telivisyen Al Jazeera kelmarin 
 
 

Tiada ulasan: