HALAMAN SANTAI

Selasa, 13 Jun 2017

290,219.3kg karbon dioksida berjaya dikurangkan melalui ‘Iskandar Malaysia Ecolife Challenge’

Ikhwan Zulkaflee

IMELC merupakan salah satu program yang telah dicadangkan dalam Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia 2025 atau lebih dikenali sebagai Low Carbon Society Blueprint for Iskandar Malaysia 2025.

JOHOR BARU: Sebanyak 83 buah sekolah di negeri Johor telah berjaya mengurangkan penggunaan elektrik mereka dan 94 buah sekolah pula berjaya mengurankan penggunaan air bulanan.

Jumlah penjimatan bil elektrik yang dicatatkan sekolah-sekolah tersebut bernilai RM 4,641.6, penjimatan 9,283.19kWh manakala bil air yang berjaya dikurangkan bernilai RM10,463.38, penjimatan 3,170.72 meter padu.

Sementara itu, 77 buah sekolah telah berjaya mengumpul 98,414 kilogram barangan kitar semula sekaligus berjaya menjana pendapatan RM27,281.33.

Perkara ini disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Johor Ayub Rahmat dalam Majlis Perasmian dan Bengkel Latihan Guru ‘Iskandar Malaysia Ecolife Challenge’ (IMELC) 2017 hari ini.

Ayub bekata sebanyak 290,219.3kg karbon dioksida telah berjaya  dikurangkan melalui aktiviti ini.

IMELC merupakan salah satu program yang telah dicadangkan dalam Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia 2025 atau lebih dikenali sebagai Low Carbon Society Blueprint for Iskandar Malaysia 2025.

“Pelan tersebut menyasarkan Iskandar Malaysia untuk menjadi wilayah ekonomi membangun yang rendah karbon melalui pengurangan pelepasan intensiti karbon sehingga 58 peratus untuk tempoh sasaran sehingga tahun 2025,” jelas Ayub.

Beliau turut berharap agar kesemua 346 sekolah yang terlibat dalam program IMELC dapat memberikan komitmen yang tertinggi dan berusaha untuk meningkatkan pencapaian pengurangan bil elektrik dan air serta pengumpulan barang kitar semula di sekolahmasing-masing.

“Usaha tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan kos utiliti pihak sekolah malahan juga dapat menjana pendapatan tambahan kepada sekolah.”

Ayub berkata kerjasama yang lebih jitu diperlukan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) bagi memastikan kejayaan program ini kerana soal alam sekitar sentiasa diberi penekanan dan perlu diterap sejak awal di bangku sekolah lagi sepertimana sering diperingatkan oleh  Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Selain itu, Ayub turut menyatakan bahawa program ini turut memerlukan sokongan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga PIBG.

Mengulas lanjut, Ayub berkata IMELC akan memperkenalkan hadiah khas kepada guru besar berdasarkan pencapaian sekolah dalam pertandingan akhir bagi menghargai iltizam golongan pendidik.

“Selain hadiah pertandingan akhir, hadiah pengurangan utliti dan pengumpulan barang kitar semula seperti tahun-tahun yang sebelum ini, tahun ini juga merupakan tahun pertama hadiah khas disediakan untuk Project Based Learning.

“Semoga persaingan yang sihat antara sekolah ini menyemarakkan lagi program IMELC 2017 ini.”

Tiada ulasan: