HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Jun 2017

Ada orang lebih layak jadi PM selain Tun M - Exco Armada

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Selepas mempertikai tindakan parti yang seolah menyekat suara anak muda, Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Abdul Wahazir Abdul Wahabi hari ini berpendapat bahawa Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak layak diangkat sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH).   
 
Abdul Wahazir berkata, terdapat ramai calon pemimpin lain yang dirasakan lebih layak berbanding pemimpin veteran itu. 
 
"Saya rasa Tun Mahathir bagi saya tidak layak lagi untuk menjadi Perdana Menteri.
 
"Saya rasa dalam parti sekarang ini kebanyakannya pun tidak waras. Kepimpinan ada yang mengatakan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk menjadi PM, Tan Sri Muhyiddin dan juga mentor saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir. (Datuk Seri) Wan Azizah pun ada disebut.
 
"Saya rasa itu tidak betullah. Saya rasa orang lain yang lebih layak untuk menjadi PM," katanya dalam sidang media sebentar tadi.
 
Terdahulu, Abdul Wahazir dalam sidang media yang sama mendesak parti agar tidak mengenakan tindakan disiplin terhadap exco Armada, Muhammad Hafiz Azhar, yang sebelum ini menggesa penjelasan Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersabit isu yang membelenggu mereka.  
 
Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan akan mempertimbangkan untuk menyandang jawatan yang pernah disandangnya selama 22 tahun sekiranya pembangkang berkuasa selepas PRU14 akan datang.
 
Beliau berkata demikian ketika diwawancara secara langsung menerusi aplikasi Facebook LIVE, baru-baru ini.
 
Walaubagaimanapun katanya, jawatan itu hanya akan dipegangnya dalam jangka masa pendek dan mesti mendapat persetujuan, terutama rakan-rakan di dalam PH.
 
Pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, PKR, PPBM dan Amanah itu sehingga kini masih belum memuktamadkan calon yang bakal diangkat menjadi perdana menteri.
 
Hanya PKR yang konsisten menamakan Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan berkenaan. 
 
 
 

Tiada ulasan: