HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Jun 2017

Adakah Musa Aman sedaya upaya bantah cukai pelancongan?’

 
Warisan bertegas menolak cukai pelancongan yang akan membebankan rakyat Sabah dan pelancongan negeri secara menyeluruh.


junz-wong-musa-aman-3


PETALING JAYA: Parti Warisan Sabah hari ini mempersoalkan sama ada ketua menteri Datuk Seri Musa Aman sedaya upaya membantah tindakan Putrajaya memperkenalkan cukai pelancongan ke atas semua hotel di negara ini, termasuk Sabah dan Sarawak.

Naib Presiden Junz Wong berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi semalam mengumumkan isu itu sudah selesai dan cukai akan dilaksanakan seperti yang dirancang.

Beliau berkata Zahid berkata demikian sehari selepas Musa dilihat berbuka puasa dengannya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Sri Satria, Putrajaya.

Beliau “terkejut” dengan pengumuman Zahid dan tertanya-tanya adakah Musa menekankan “aspirasi” rakyat Sabah mengenai perkara itu kepada Najib dan Zahid.

“Sekiranya beliau berbuat demikian, kenapa TPM mengumumkan cukai pelancongan akan diteruskan seperti yang dirancang?” tanya Wong yang merupakan Adun Likas, dalam kenyataan hari ini.

“Rakyat Sabah masih berharap cukai pelancongan itu akan ditolak,” katanya.

“Warisan bertegas menolak cukai pelancongan yang akan membebankan rakyat Sabah dan pelancongan negeri secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Pang Yuk Ming pada 12 Jun berkata kerajaan negeri belum membuat keputusan mengenai isu itu.

Pada 14 Jun, Menteri Sabah Datuk Masidi Manjun mendakwa kerajaan negeri membantah sejak 2016, kata Wong, sambil berkata Musa dilihat berbuka puasa dengan Najib dan Zahid malam itu.
Cukai pelancongan akan berkuatkuasa 1 Julai.

Setelah dilaksanakan, penduduk tempatan dan warga asing perlu membayar levi kepada pengendali hotel berdasarkan bilangan bilik dan malam penginapan, pada kadar yang sama.

Cukai untuk hotel tidak bertaraf adalah RM2.50, sementara cukai untuk 2 bintang ialah RM5, 3 bintang RM10, 4 bintang RM15 dan RM20 5 bintang.

Pemimpin di Sabah dan Sarawak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cukai itu, mendakwa negeri mereka tidak dirundingkan terlebih dahulu, dengan semangat perjanjian yang ditandatangani antara mereka dengan kerajaan persekutuan semasa pembentukan Malaysia pada 1960-an.

Pada 11 Jun, Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dipetik Borneo Post sebagai berkata cukai baharu itu merupakan contoh ketara Putrajaya mengenakan undang-undang cukai di Sarawak tanpa berunding.

Ini mencetuskan kemarahan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz yang pada hari yang sama menyeru Karim menutup mulut.

Pemimpin politik dari Sabah dan Sarawak menyokong Karim dalam pertikaian tersebut.

Zahid semalam berkata pertelingkahan antara Nazri dan negeri Malaysia Timur sudah diselesaikan, dan isu itu dibincangkan Kabinet pada Rabu.

Beliau berkata ia dipersetujui tidak ada kenyataan lanjut mengenai perkara itu oleh menteri persekutuan dan negeri.

Beliau sendiri bertemu dengan ketua menteri Sarawak dan Sabah pada Rabu dan isu itu kini ditutup

Tiada ulasan: