HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Jun 2017

Adik beradik Maute, bom jangka di Asia Tenggara

 
Keluarga Maute berpendidikan tinggi dan mereka mementingkan peranan ibu, yang menjadi nadi gerakan militan yang menawan Marawi baru-baru ini.


Omarkhayam-Romato-MauteMARAWI CITY: Di Facebook, Omarkhayam Romato Maute menyifatkan dirinya sebagai “bom jangka berjalan”.


Apabila sekumpulan militan diketuai Omarkhayam dan salah seorang adik beradiknya menyerang sebuah bandar di Selatan Filipina pada 23 Mei, sambil mengibarkan panji hitam IS di sepanjang jalan, deskripsi Facebook itu kelihatan sesuai.

Kerajaan di Asia Tenggara sudah lama bersedia menghadapi kemungkinan IS, yang kini berdepan pengusiran dari Iraq dan Syria, menubuhkan “khilafah” di rantau ini dan seterusnya menjadi ancaman di sini.

“Timur Tengah mungkin jauh, tetapi sebenarnya tidak. Ia adalah masalah di tengah-tengah kita,” Perdana Menteri Singapura Hsien Loong dipetik radio Australia pada Sabtu lalu, ketika pertempuran untuk menawan balik Marawi diteruskan untuk minggu ke-3 dengan angka korban meningkat hampir 200.

“Ia merupakan ancaman yang jelas.”

Omarkhayam dan Abdullah Maute membesar bersama adik beradik mereka di Marawi, sebuah bandar dengan majoriti penduduk Muslim, dalam sebuah negara yang mempunyai 90% penduduk Kristian.

Marawi mempunyai pertalian sejarah sebagai pusat perkembangan Islam di Mindanao, kepulauan di selatan Filipina yang mempunyai tradisi pemberontakan sejak zaman penjajahan Sepanyol, ditambah lagi dengan faktor kemiskinan justeru diabaikan kerajaan.

Kehidupan awal

Sebagai remaja pada 1990-an, adik beradik ini tidak banyak berbeza dengan pemuda lain, menurut seorang jiran keluarga Maute: mereka mengaji Al Quran, belajar bahasa Inggeris, dan bermain bola keranjang di jalanan.

“Kami masih tertanya-tanya bagaimana mereka jatuh ke dalam kancah IS,” kata jiran itu yang pernah menganggotai kumpulan militan Islam tetapi kini menyerah diri kepada kerajaan.

“Mereka baik, beragama. Apabila seseorang menghafal Al Quran, tidak mungkin mereka melakukan kesalahan. Tetapi inilah yang terjadi kepada adik beradik itu.”

Pada awal 2000, Omarkhayam dan Abdullah masing-masing melanjutkan pengajian ke Mesir dan Jordan, di mana mereka fasih berbahasa Arab.

Omarkhayam belajar di Universiti Al-Azhar di Kaherah, di mana beliau bertemu bakal isterinya, anak seorang agamawan konservatif Indonesia. Selepas berkahwin, mereka ke Indonesia, di mana Omarkhayam mengajar di sekolah bapa mentuanya. Pada 2011, dia pulang ke Mindanao.

Dipercayai Omarkhayam mula menjadi radikal di sini, dan bukan ketika berada di Timur Tengah.

Di Kaherah, “tidak seorang pun sahabatnya yang dapat melihat sikap radikal, dan terdapat gambar menunjukkan pemuda itu bersama anak perempuannya bermain bersama keluarga di pantai Laut Merah,” menurut pakar anti-keganasan berpengkalan di Jakarta, Sidney Jones dalam sebuah laporan 2016.

Kehidupan Abdullah pula tidak banyak diketahui selepas dia ke Jordan, dan tidak jelas sama ada dia kembali ke Lanao del Sur, sebahagian daripada wilayah Marawi.

Peranan utama ibu

Sumber perisikan berkata terdapat 7 adik beradik dan seorang adik tiri, semua kecuali seorang menyertai pertempuran Marawi.

Adik beradik Mautes berasal daripada keluarga berada dan membesar dalam persekitaran di mana hubungan dan maruah keluarga dijaga dan Al Quran menjadi pegangan.

Jurucakap tentera, Jo-Ar Herrera, berkata suku “Maranao” yang merupakan asal usul keluarga Maute, mempunyai tradisi mengutamakan pihak ibu.

Menurutnya, ibu mereka, Farhana Maute, yang menurut seorang jiran memiliki syarikat perabot dan kereta terpakai, membantu kewangan kumpulan tersebut, dan dialah yang merekrut dan menjadikan belia tempatan radikal.

Jumaat lalu, Farhana ditangkap ketika berada dalam sebuah kenderaan disarat dengan senjata api dan bahan letupan.

Herrera menganggap penangkapan itu tamparan hebat kepada militan kerana Farhana merupakan nadi pertubuhan Maute.

Sehari sebelumnya, bapa adik beradik itu, seorang jurutera, ditangkap di Davao City.

Serangan ke atas Marawi disertai ratusan anggota militan termasuk pejuang dari Maghribi dan Yaman.

Kebanyakan mereka merupakan anggota 4 kumpulan tempatan yang bersekutu dengan IS, dan mendepani mereka ialah keluarga Maute, menurut pegawai tentera.

Aktif di Internet

Jones menyifatkan kumpulan Maute sebagai “paling bijak, paling berpendidikan dan paling canggih” di kalangan semua kelompok IS di Filipina.

Pemimpin masyarakat tempatan Samira Gutoc-Tomawis, yang mengenali sanak saudara Maute, berkata adik beradik itu banyak bergantung kepada media sosial dalam menambah keahlian muda di samping menyebarkan ideologi yang keras dan tegar.

“Keluarga Maute amat aktif di Internet. Mereka memuat naik idea mereka di YouTube.

“Mereka cekap, berpendidikan dan mempunyai idealisme.”

Seorang jiran Maute yang enggan dinamakan atas sebab keselamatan, berkata pejuang kumpulan itu tidak gentar.

Dia menceritakan bagaimana dia terperangkap 5 hari di dalam rumah 3 tingkatnya bulan lalu ketika pertempuran berlaku antara tentera Filipina dan militan, di tengah bunyi tembakan dan jet pengebom.

“Ketika pengeboman dengan pesawat OV-10, mereka tidak lari menyelamatkan diri, mereka kekal sambil makan biskut,” katanya.

Pada 28 Mei, sekumpulan 7 anggota militan, salah satu daripadanya Omarkhayam, tiba di rumahnya sambil bertanya mengapa dia tidak melarikan diri.

Apabila diberitahu yang dia bimbang terperangkap dalam pertempuran, mereka membawanya ke sebuah jambatan sambil membekalkan sehelai kain putih untuk dikibarkan bagi mengelak diserang.

Kumpulan Maute mula timbul pada 2013 ketika serangan bom ke atas sebuah kelab malam di Cagayan de Oro. Ia kemudian mula berkembang, kususnya selepas pengemboman sebuah pasar terbuka di Davao City, kampung halaman Presiden Rodrigo Duterte.

Anggota Maute yang ditangkap berkata serangan ke atas Davao itu diarahkan Isnilon Hapilon dari Abu Sayyaf, kumpulan yang terkenal dengan siri penculikan di selatan Filipina.

Hapilon yang dinobatkan sebagai “Amir” IS di Asia Tenggara, tampil dalam sebuah klip bideo minggu lepas, bersama-sama dengan 2 adik beradik Maute, merancang mahu menutup Marawi daripada dunia luar.
Herrera berkata Maute mempunyai sokongan kuat di Marawi.

“Ini kawasan mereka, di sinilah keluarga mereka, di sinilah budaya mereka, di sinilah asal usul mereka.
“Terdapat rasa simpati yang besar terhadap Maute,” katanya.

Tetapi Khana-Anuar Marabur Jr., seorang ahli majlis Marawi, berkata kumpulan Maute banyak musuh disebabkan sikap radikal mereka.

Menurutnya, dia menemui adik beradik itu pada hari serangan ke atas Marawi dilancarkan, tetapi mereka mengarahkannya meninggalkan bandar itu.

“Mereka menyuruh saya keluar, atas arahan khilafah, kata Marabur kepada Reuters.

“Mereka melayan saya seperti musuh. Sekarang, saya mahu bunuh mereka.”

Tiada ulasan: