HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Jun 2017

Amanah sedia lawan tiga penjuru di Kelantan

MALAYSIA DATELINE

Che Ibrahim Mohamed

Amanah bersama PKR dan Bersatu bersedia berhadapan pertandingan tiga penjuru di Kelantan sekali gus menerima cabaran Pas yang membuat keputusan untuk bertanding di kesemua Dun dan Parlimen negeri itu.

Naib Pengerusinya, Che Ibrahim Mohamed berkata, Amanah tetap yakin, berdasarkan keputusan pilihan raya sebelum ini dan perkembangan semasa, Pas akan menghadapi satu suasana yang sukar untuk mempertahankan kerajaan sedia ada.

“Umno juga pada saat ini berhadapan kemelut politik yang sukar di peringkat nasional, malah bukan lagi menjadi pilihan terbaik kepada rakyat Kelantan yang sememangnya telah ditolak semenjak enam pilihan raya umum yang lalu,” katanya seperti dipetik Sinar Online.

Sebelum ini, Timbalan Musyidul Am Pas Datuk Ahmad Yakob berkata Pas akan bertanding di kesemua kerusi Dun dan Parlimen di Kelantan.

Menurut Che Ibrahim, pertandingan tiga penjuru sebenarnya memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan kerana disokong oleh petugas dan penyokong tegar empat parti gabungan tersebut, berbanding Pas dan Umno yang bergerak sendiri.

Beliau berkata, situasi ini akan menyebabkan pengundi tidak berparti lebih berminat dan cenderung untuk kepercayaan mereka kepada Pakatan Harapan sebagai peneraju baharu Kerajaan Kelantan untuk masa akan datang.

“Lagipun, bila berlaku pertandingan tiga penjuru, Pakatan Harapan hanya memerlukan sokongan 35 peratus pengundi untuk menang, sudah tentu penyokong-penyokong teras dari empat parti gabungan akan menjadi daya penarik dan mempunyai kekuatan tersendiri bagi membolehkan pengundi tidak berparti berpihak kepada kita.

“Untuk Pas, Amanah Kelantan mengalu-alukan keputusan mereka itu dan tidak perlu lagi memikirkan soal PKR kerana ternyata Pas tidak mempunyai apa-apa hubungan politik secara rasmi dengan PKR kerana PKR adalah salah satu parti gabungan dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Tiada ulasan: