HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Jun 2017

Anina: Keputusan Anwar tolak jawatan PM waras

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: 'Keputusan yang waras', kata seorang pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersabit keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menawarkan dirinya sebagai calon perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) berjaya menakluk Putrajaya pada pilihan raya akan datang. 
 
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Anina Saadudin berkata, PH perlu mempertimbangkan daripada segala segi terhadap apa jua strategi bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), termasuk soal penentuan calon perdana menteri dan juga barisan kepimpinan yang akan dibentuk. 
 
"Itu adalah sesuatu yang waras bagi saya kerana mana mungkin seorang yang berada dalam penjara nak mencalonkan dirinya menjadi perdana menteri.
 
"Saya percaya rakyat sudah matang dan bijak, rakyat tidak akan membuat satu keputusan yang boleh buatkan Malaysia ditertawakan seluruh dunia dengan memilih seorang calon yang berada dalam penjara contohnya. Banyak isu di situ.
 
"Jadi kita kena bertanggungjawab dalam sebarang strategi yang kita umumkan untuk PRU14, supaya rakyat lebih yakin dengan kita," katanya kepada Antarapos. 
 
Anwar kelmarin membuat kejutan apabila mengumumkan beliau tidak akan menawarkan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri jika PH menang pada PRU14.
 
Ketua Umum PKR itu melalui kenyataan yang dikeluarkan partinya berkata, PH harus memberikan perhatian kepada dasar negara, kepincangan sistem dan ke arah kemenangan PRU14. 
 
Pembangkang diminta henti buat kenyataan jawatan PM
 
Bersetuju dengan saranan Anwar, tambah Anina, pada ketika ini, PH perlu 'berehat' seketika daripada kerap mengeluarkan kenyataan bersabit calon perdana menteri mahupun barisan kepimpinan PH kerana tidak mahu rakyat menilai gabungan itu dari sudut negatif ekoran pertikaian yang berterusan. 
 
"Saya harap apa juga makluman yang nak disampaikan kepada umum tentang keputusan pucuk pimpinan PH hanya diumumkan selepas kita betul-betul ada keputusan muktamad, bukan yang berubah-ubah. Kerana ini akan beri kesan yang tak baik kepada PH.
 
"Rakyat akan melihat ketidaktentuan dalam proses membuat keputusan dalam PH," kata beliau.
 
Ketika diajukan mengenai pandangan Anwar yang menolak usul PPBM untuk menguasai jawatan pengerusi dan presiden dalam pakatan pembangkang itu, Anina berpandangan, kenyataan itu seolah menjurus kepada agenda rakyat melebihi kepentingan mana-mana parti politik.
 
"Soal kalau letak individu ini dan apa kesan kepada parti yang lain, berubah kerangka dan sebagainya, ia sudah memperlihatkan bahawasanya penentuan siapa yang akan memimpin PH itu telah bertunjangkan kepantingan parti tertentu. Sedangkan kita nak pilih pemimpin ini untuk rakyat, bukan untuk kepentingan parti politik masing-masing," ujar beliau.   


Tiada ulasan: