HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Jun 2017

Anwar enggan isu calon PM terus jadi perbalahan - Amanah

Oleh Ahmad Farhain Mazlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah menyifatkan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menawarkan dirinya sebagai perdana menteri sebagai usaha untuk menutup soal berkenaan yang dikhuatiri menjadi perbalahan berterusan dalam Pakatan Harapan (PH).
 
Sambil menyambut baik keputusan tersebut, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, seiring dengan pengumuman itu, semua parti komponen dalam PH harus menghormati saranan Anwar untuk tidak menjadikan isu perdana menteri sebagai isu utama pada ketika ini.
 
"Saya rasa dia tarik diri daripada persoalan menjadi perdana menteri kerana tidak mahu isu ini berpanjangan, biar bertumpu kepada kerja-kerja pilihan raya dulu, itu yang penting, soal siapa menjadi perdana menteri ini bukan satu perkara yang kita boleh bincang dan putuskan pada waktu ini.
 
"Jadi, ianya merupakan satu tindakan bertujuan untuk menutup perbincangan, perbahasan dan perbalahan kalau adalah berhubung persoalan siapa yang akan menjadi perdana menteri.
 
"Biar menang pilihan raya dulu baru bincang, buat masa ini dia tarik diri untuk menunjukkan persoalan ini tidak penting, sekarang ini yang penting adalah buat kerja dan dapatkan sokongan rakyat," Katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Dalam pada itu, Khalid turut menyokong sepenuhnya kenyataan Anwar yang tidak bersetuju dengan usul Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk merombak struktur pentadbiran PH.
 
Ahli Parlimen Shah Alam itu malah berkata, sebagai parti baru, parti teraju Tun Dr Mahathir Mohamad itu sepatutnya menghormati 'cara kerja' gabungan berkenaan yang diasaskan terlebih dahulu oleh parti lama. 
 
"Saya pada dasarnya saya terima dengan baik peringatan,  jangan kita rombak, iyalah pasal masuknya Bersatu (PPBM) ke dalam Pakatan Harapan, Bersatu ini satu parti yang baru yang datang dari daripada latar belakang pengalaman politik yang berbeza dan kadangkala cara dia buat keputusan dan cara dia buat tindakan dan sebagainya berbeza dengan kita. 
 
"Lalu Pakatan Harapan ini kena pertahankan budaya musyawwarah, membuat keputusan secara konsensus dan sebagainya, dan Bersatu perlu memahami itulah budaya kerja yang kita nak cetuskan dan perkenalkan kepada negara dan kita tidak mahu berdekatan yang sepertimana wujud khususnya dalam Barisan Nasional (BN). 
 
"Jadi, apa yang dicadangkan adalah sebagai satu peringatan supaya kita tidak terlalu tumpu untuk menang pilihan raya sehingga kita lupa pendekatan yang sekian lama sudah diguna pakai,"katanya.
 
Ketika ditanya sejauh mana keputusan Anwar itu akan memberi kesan kepada kepercayaan rakyat terhadap PH, beliau mengatakan isu tersebut tidak timbul kerana penyokong mereka memahami perjuangan sebenar Anwar.
 
"Jadi saya rasa ianya akan menaikkan lagi kesungguhan rakyat untuk memenangkan Pakatan Harapan setelah dilihat bahawa Anwar sanggup sampai satu tahap dia merupakan calon utama yang disokong oleh semua pihak.
 
"Tetapi dia sendiri sanggup menolaknya kerana ini bukan persoalan perjuangan untuk menjadi perdana menteri dan sebagainya tetapi ianya merupakan satu perjuangan yang bertujuan membawa perubahan yang lebih bermakna kepada rakyat jelata dari segi ekonominya," katanya lagi.
 
Ditanya lebih lanjut sama ada PH akan mengusulkan nama baru 'menggantikan' Anwar, beliau berkata, sekiranya itu dilakukan pada masa kini, maka saranan Ketua Umum PKR itu adalah sia-sia.
 
"Tujuan (penarikan diri Anwar) supaya jangan bincang soal siapa yang akan menjadi perdana menteri, jika kita buat cadangan nama yang lain, kita akan mulakan tindakan yang bertujuan untuk menamatkan perbahasan tentang siapa nak menjadi perdana menteri,"ujarnya.
 
Anwar semalam membuat kejutan apabila mengumumkan beliau tidak akan menawarkan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri jika P) menang pada PRU14.
 
Anwar melalui kenyataan yang dikeluarkan menerusi PKR berkata, PH harus memberikan perhatian kepada dasar negara, kepincangan sistem dan ke arah kemenangan PRU14.
 
 

Tiada ulasan: